Iklan

Langkah Raja-Raja Melayu pertahan istana

The Malaysian Insight6 years ago6th Jan 2019Berita
Parliament tmikamal 05
Sultan Muhammad V meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong hari ini, yang pertama dalam sejarah negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2019.
Iklan

DALAM tempoh tidak sampai tujuh minggu, akhirnya ia berlaku.

Sebaik sahaja gambar dan laporan mengenai perkahwinan 22 November itu tersebar, mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu untuk membincangkan mengenai masa depan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong itu hanya menunggu masa untuk diadakan.

Apabila Yang di-Pertuan Agong memahami bahawa baginda hilang sokongan majoriti Raja-Raja Melayu, baginda tiada pilihan selain meletak jawatan, satu perkembangan yang jarang sekali berlaku dalam sistem giliran raja berperlembagaan.

Raja-Raja Melayu kini perlu mengadakan persidangan untuk menentukan lantikan Yang di-Pertuan Agong seterusnya tetapi dengan pengosongan jawatan itu hari ini, Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah dari Perak akan menjadi pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Sumber daripada sembilan istana Raja-Raja Melayu memberitahu The Malaysian Insight, langkah yang julung kali diadakan ini dibuat untuk mempertahankan institusi diraja.

Tambahan pula, institusi ini dipersoal mengenai peranan mereka sewaktu pilihan raya 9 Mei yang akhirnya menyaksikan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan buat kali pertama sejak Merdeka, ketika ia masih dikenali sebagai Perikatan.

Menurut sumber istana, persidangan di antara Raja-Raja Melayu itu tidak sebulat suara tetapi jelas bahawa majoritinya berasa Yang di-Pertuan Agong perlu meletak jawatan, susulan perkembangan yang berlaku dalam beberapa bulan lepas.

Raja-Raja Melayu kini perlu mengadakan persidangan untuk menentukan lantikan Yang di-Pertuan Agong seterusnya tetapi dengan pengosongan jawatan itu hari ini, Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah dari Perak akan menjadi pemangku Yang di-Pertuan Agong. – Gambar EPA, 6 Januari, 2019.

Apa yang berlaku itu mudah. Sultan Muhammad V bercuti secara rasmi untuk dua bulan dari 1 November hingga 31 Disember, diberitakan untuk berehat selepas rawatan perubatan.

Tetapi timbul berita dan gambar pada akhir November bahawa Yang di-Pertuan Agong berkahwin dengan seorang jelitawan Rusia dalam satu majlis tertutup di Moscow.

Oksana Voevodina, yang dimahkotakan sebagai Miss Moscow pada 2015, berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong dalam satu majlis mewah selepas dilaporkan memeluk Islam akhir tahun lalu.

Wanita 25 tahun yang juga anak kepada seorang doktor itu sebelumnya pernah bekerja sebagai model di China dan Thailand.

Terdapat banyak lagi gambar dan rakaman video dari kerjaya modelnya yang menimbulkan persoalan dari kalangan warga konservatif Malaysia, lebih-lebih lagi di Kelantan yang ditadbir mengikut garis alim parti PAS.

Desas-desus mengenai pertemuan di antara Raja-Raja Melayu yang dijadualkan pada 2 Januari beredar sebaik sahaja Sultan Perak menamatkan tempoh dua bulan sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan tidak rasmi di antara Raja-Raja Melayu akhirnya diadakan pada 3 Januari untuk membincangkan mengenai kesalahan terakhir yang membawa kepada keputusan itu, seperti disebut seorang penasihat yang dekat dengan perbincangan tersebut.

Kakitangan istana juga mengesahkan bahawa lima Raja-Raja Melayu – dari Perlis, Johor, Perak, Kedah dan Terengganu bertemu di Istana Perlis pada 10 pagi pada Jumaat untuk membincangkan mengenai perkara itu.

“Raja-Raja Melayu dukacita atas keputusan itu. Mereka tidak mahu ia menjadi undi rahsia lalu satu resolusi dibuat supaya setiap Raja-Raja tahu pendirian masing-masing,” kata seorang penasihat kepada The Malaysian Insight.

Dua Raja Melayu tidak hadir ke persidangan itu, Sultan Pahang kerana gering dan Sultan Selangor kerana di luar negara. Kerabat raja Kelantan juga tidak hadir ke persidangan tidak rasmi itu kerana Yang di-Pertuan Agong merupakan Sultan Kelantan.

The Malaysian Insight difahamkan kesemua Raja-Raja Melayu yang hadir berkenan agar Sultan Muhammad V turun takhta.

Difahamkan, Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong untuk santapan tertutup di Hotel Shangri-La di Kuala Lumpur di Kuala Lumpur semalam, yang berakhir pada jam 12.40 pagi ini.

Sumber istana berkata Yang di-Pertuan Agong dinasihati agar meletak jawatan semasa santapan tertutup itu.

“Memandangkan Yang di-Pertuan Agong memutuskan untuk letak jawatan, tiada undi tidak rasmi. Tetapi baginda diberitahu sekiranya tidak letak jawatan, Raja-Raja Melayu ada sekurang-kurangnya lima undi untuk mengundinya keluar,” kata satu sumber.

Perlembagaan Persekutuan menggariskan, Raja-Raja Melayu perlu bersidang segera untuk memutuskan Yang di-Pertuan Agong baharu. Mengikut amalan lazim, ia dijalankan secara giliran mengikut tertib yang ditetapkan di antara masing-masing sejak Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Giliran seterusnya adalah Sultan Pahang tetapi baginda sedang gering. Seterusnya adalah Sultan Johor tetapi proses untuk mengisi kekosongan itu akan mengambil masa beberapa minggu, dan secara automatik Sultan Perak akan bertindak sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong. – 6 Januari, 2019.

 

* Laporan ini diperbetulkan untuk memasukkan fakta bahawa kesemua Raja-Raja Melayu sebulat suara berkenan agar Sultan Muhammad V turun takhta.

Iklan
Iklan