Iklan

Projek pembangunan mega Pulau Pinang bermula

Looi Sue-Chern6 years ago7th Jan 2019Berita
Pg skyline dloh-6366
Bermula tahun ini, pembangunan mega akan bermula di Pulau Pinang bagi sebahagian komponen jalan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) selain projek LRT menghubungkan Komtar dan lapangan terbang di Bayan Lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2019.
Iklan

KETIKA beberapa kumpulan persatuan sivil Pulau Pinang lantang membantah projek infrastruktur mega di negeri itu, penduduknya terbahagi, ada yang menyokong projek berkenaan sementara sebahagian lagi tertanya-tanya bagaimana hidup akan berubah sebaik saja pembangunan itu siap.

Bermula tahun ini, pembangunan akan bermula bagi sebahagian komponen jalan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Yang pertama ialah persimpangan Air Itam-Tun Dr Lim Chong Eu pada suku pertama, diikuti dengan laluan berkembar pesisir pantai utara dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang dan persimpangan Persiaran Gurney-Tun Dr Lim Chong Eu.

Semua tiga jalan itu lulus peringkat laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk diteruskan pembinaannya.

Antara projek lain ialah transit aliran ringan (LRT) menghubungkan Komtar di George Town dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas; dan Penambakan Selatan Penang (PSR) untuk membina tiga pulau buatan di pantai selatan bahagian pulau.

Sementara banyak kumpulan mempertikaikan rasionalnya membina lebih banyak jalan dan memberi amaran tentang kemerosotan alam sekitar, masih ada rakyat Pulau Pinang yang percaya projek itu perlu untuk perkembangan negeri dan bagi menangani kesesakan lalu lintas semasa.

Kok Ah Wah berkata projek itu pembangunan positif bagi negeri dan tidak akan menjejaskan perniagaannya, yang diiktiraf sebagai perdagangan warisan dalam tapak Unesco di George Town. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 Januari, 2019.

Akbar Ali Khan, 59, yang berniaga gerai di tepi jalan di George Town berkata keadaan pasti bertambah baik berbanding dengan situasi sekarang yang tersangkut dalam kesesakan jalan raya setiap hari. Gerainya terletak di Sungai Dua iaitu di bahagian selatan.

“Pembangunan baharu tidak membimbangkan. Saya harap pihak berkuasa tempatan tidak melarang saya berniaga di tepi jalan lagi,” katanya yang menjual sarapan dan makan tengah hari sejak 66 tahun lalu, diwarisi daripada bapanya.

Pembuat papan tanda Cina, Kok Ah Wah, 78, bersetuju dengan pandangan Akbar, berkata projek itu pembangunan positif bagi negeri dan tidak akan menjejaskan perniagaannya, yang diiktiraf sebagai perdagangan warisan dalam tapak Unesco di George Town.

“Kedai saya sudah berusia lebih 100 tahun. Bapa saya yang membukanya. Saya mula bekerja dengannya ketika berumur 16 tahun. Anak-anak saya akan mengambil alihnya nanti.

“Masih ada permintaan untuk papan tanda ini sekarang. Saya rasa kedai ini mampu bertahan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Lebuh Queen.

Seorang pemborong yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Loon turut memetik pembangunan di beberapa negara lain dan berkata rakyat Pulau Pinang memerlukannya.

“Semua negara maju bina lebih banyak jalan dan sistem kereta api moden,” katanya. – 7 Januari, 2019.

Baca berita penuh di sini.

Iklan
Iklan