DAP terperangkap antara dilema Melayu dan Cina
Iklan
TERLALU Cina untuk Umno dan PAS, dan tidak cukup Cina untuk MCA, DAP terus-terusan dimomokkan oleh pesaing politiknya.
Usaha untuk mengimbangi wakil Melayu dalam parti itu dan menjadikannya lebih Malaysia bukan mudah, kerana terdapat penentangan daripada pangkalan utama parti, kata Pengerusi DAP Johor dan pakar strategi parti, Liew Chin Tong.
Parti itu bimbang tentang perlunya menjadi parti untuk rakyat Malaysia tetapi terperangkap di dalamnya.
“Sejak 1966, pemimpin sedar ia perlu menjadi parti rakyat Malaysia tetapi realiti politik memerangkap kami di penjuru bukan Melayu,” kata Liew dalam satu temu bual pada Jumaat.
Katanya, DAP perlu berterusan menekankan penyelesaian cara rakyat Malaysia dan berhati-hati supaya ia tidak bertukar menjadi dikotomi kaum.
Di sebalik semua usaha itu, kekurangan pemimpin Melayu dalam parti walaupun di peringkat negeri, menjadikan sukar untuknya menghakis imej terlalu Cina.
Dianggarkan kira-kira 5% daripada 150,000 keahlian DAP ialah Melayu.
Dalam pemilihan parti di Johor dan Selangor baru-baru ini, hanya seorang Melayu – Sheikh Omar Ali mendapat tempat dalam jawatankuasa pusat.
Bagaimanapun, Liew yang kini timbalan menteri pertahanan berkata perlu diingat bahawa DAP meletakkan lebih ramai calon Melayu di bawah umur 40 tahun, berbanding Umno.
“Kami ada majoriti bukan Melayu dan ia realiti yang perlu diterima.
“Tetapi pada pilihan raya lalu, DAP meletakkan 10 calon Melayu bawah umur 40, di mana Umno hanya letak seorang.”
Pada masa itu pun, Liew mengakui ada ahli yang tidak suka dengan tindakan parti meletakkan calon Melayu.
“Kami ada cawangan yang tidak suka dan menuduh kami hanya jaga kepentingan Melayu saja. Oleh itu, ia satu cabaran untuk membuka sempadan dan membantu akar umbi melihat bahawa banyak kepentingan seperti pendidikan dan ekonomi tidak berdasarkan kepada kaum.”
Beliau berkata menjaga kumpulan B40 di mana 75% daripadanya adalah Bumiputera, tidak sama seperti menjuarai kepentingan Melayu saja.
DAP juga tidak dapat memainkan kepentingan Cina, semata-mata untuk membalas serangan MCA dan media Cina kerana tidak “cukup Cina” atau kerana tidak melakukan sebaiknya untuk masyarakat itu.
“Kami bimbang dengan serangan ini tetapi kami tidak akan menggunakan retorik terhadap kaum Cina. Tetapi DAP tidak boleh melakukannya sendirian.
“Ia perlu menjadi wawasan Pakatan Harapan (PH) di mana semua parti perlu menghasilkan sesuatu yang semua orang suka. Ia proses yang perlu dilalui tetapi kami perlu sampai ke peringkat itu lagi,” katanya.
Liew berkata beliau percaya parti berasaskan kaum tidak relevan lagi, walaupun Bersatu, sekutunya dalam PH ialah parti berasaskan kaum Melayu.
“Tidak ramai rakyat Malaysia sekarang yang di peringkat di mana mereka perlukan parti kaum. Kalau tidak PKR tidak akan berkembang dalam masa 20 tahun.
“Kami perlu menggunakan peluang dalam kerajaan untuk berbuat baik kepada orang biasa supaya mereka dapat lihat ia bukan berasaskan kaum,” katanya. – 7 Januari, 2019.