PKR Pulau Pinang perlukan pengerusi baharu segera, kata bekas ketua Pemuda
Iklan
PKR Pulau Pinang perlukan seorang pengerusi baharu secepat mungkin berikutan Nurul Izzah Anwar meletak jawatan bulan lepas, kata bekas ketua Pemuda, Dr Afif Bahardin.
Pelantikan ini perlu dilakukan segera disebabkan Pulau Pinang merupakan negeri Pakatan Harapan (PH) yang penting yang mana PKR perlu menjalankan peranannya sebagai sebahagian daripada pentadbiran negeri.
“Tahun ini kita ada banyak isu melibatkan kepimpinan PKR negeri. Untuk beroperasi, kerajaan negeri juga memerlukan PKR Pulau Pinang memberikan pandangan.
“Kalau kita tak lantik seorang pengerusi negeri dengan segera, maka ini mungkin akan menjejaskan usaha PKR untuk memainkan peranannya dalam kerajaan negeri,” kata beliau.
Menurut Dr Afif, beberapa nama sudah dicadangkan kepada peringkat pimpinan parti untuk diberi pertimbangan oleh pemimpin-pemimpin cabang PKR Pulau Pinang. Namun beliau enggan memberi butiran lanjut.
Adun Seberang Jaya yang juga ketua Cabang Permatang Pauh itu hanya menyebut yang beliau tiada dalam senarai tersebut.
“Saya berharap sesiapa saja yang dilantik sebagai pengerusi baharu nanti akan dapat mentadbir Pulau Pinang dengan baik dan memimpin 13 cabang.
“Kita mempunyai kekuatan di Pulau Pinang kerana kita menang di semua kerusi DUN dan Parlimen yang dipertandingkan pada pilihan raya umum lepas di bawah pimpinan bekas pengerusi Mansor Othman. Hanya PKR Pulau Pinang dan Selangor yang capai kejayaan ini.
“Bukan mudah untuk kekalkan prestasi sebegini. Orang yang mengambil alih perlu memastikan PKR Pulau Pinang tunaikan janji dan programnya,” jelas Dr Afif.
Bulan kepas, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai naib presiden PKR dan pengerusi Pulau Pinang. Jawatan pengerusi negeri itu atas lantikan bapanya, Presiden PKR Anwar Ibrahim. – 7 Januari, 2019.