Nama Wan Saiful disalah guna ahli Bersatu Perlis dalam kes penipuan
Iklan
POLIS Perlis sudah mengambil keterangan dua orang, termasuk seorang individu yang diperdaya supaya percaya Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan berhutang dengannya untuk khidmat kereta sewa.
Bulan lalu, Wan Saiful yang juga bekas setiausaha Bersatu Perlis membuat laporan polis selepas mendapati ada pihak tertentu menggunakan namanya untuk menyewa kereta dan beliau dihendaki membayar RM12,000.
Beliau juga mendapati suspek berusia 47 tahun yang jadi dalang penipuan tersebut- rakan politik dalam Bersatu Perlis- juga mengeluarkan surat palsu dikeluarkan bendahari parti negeri yang mengarahkan bayaran RM188,449 dimasukkan ke dalam akaunnya.
Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd berkata polis sudah mengambil keterangan serta gambar perbualan WhatsApp antara pemilik kereta dan Wan Saiful.
Polis juga sudah mendapatkan salinan surat palsu yang didakwa dikeluarkan setiausaha Bersatu Perlis, katanya lagi.
Menurut laporan polis, suspek dipercayai cuba menyelesaikan bayaran sewa kereta dengan menghantar perbualannya dengan Wan Saiful kepada pemilik kereta.
Perbualan tersebut adalah berkaitan bagaimana Wan Saiful sepatutnya membayar bayaran sewa tersebut, perkara itu dinafikan Wan Saiful.
Pemilik kereta juga bertanya kepada Wan Saiful tentang kesahihan surat mengarahkan bayaran RM188,449 untuk sebuah majlis anjuran Bersatu Bahagian Arau di Perlis.
Berdasarkan kenyataan Wan Saiful dan pemilik kereta, suspek juga memberikan satu lagi tawaran kepada pemilik kereta sewa tersebut- kontrak membekalkan makanan untuk sebuah majlis Bersatu Arau dan memberitahunya supaya memasukkan bayaran sewa kereta dalam tender yang berjumlah RM188,449.
Suspek kemudian menghantar gambar surat bertarikh 12 Disember kepada pemilik kereta. Surat palsu itu menyatakan wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun Wan Saiful oleh bendahari agung Bersatu untuk bayaran sewa kereta dan khidmat katering
“Wan Saiful menafikan bahawa majlis tersebut akan diadakan dan pengadu telah membuat semakan dengan bendahari agung Bersatu (Mohd Salleh Bajuri) serta bendahari negeri, tiada surat arahan pembayaran yang diterima oleh pihak Bersatu.
“Tiada sebarang pembayaran dilakukan oleh pihak Bersatu ke dalam akaun mangsa (pemilik kereta sewa),” kata Mushar.
Beliau menjelaskan yang tidak terdapat kerugian disebabkan cubaan penipuan tersebut yang kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memperdaya.
Kes polis itu didedahkan Wan Saiful beberapa jam selepas Bersatu Perlis mengumumkan pengugurannya sebagai setiausaha negeri seterusnya mencetuskan spekulasi motif sebenar penyingkiran itu.
Beliau mendakwa diminta menarik balik laporan polis tetapi permintaan tersebut ditolaknya.
Wan Saiful juga mendakwa beliau diminta dan ditawarkan wang untuk masuk campur dan mengatur pemberian kontrak kerajaan bernilai jutaan ringgit kepada syarikat dikaitkan dengan anak lelaki seorang pemimpin Bersatu Perlis.
Pengerusi Bersatu Perlis Amier Hassan dilaporkan berkata penguguran Wan Saiful dilakukan kerana pengerusi PTPTN itu tidak ada masa untuk bermesyuarat mengenai hal ehwal parti di negeri itu.
Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya semalam berkata parti tidak dimaklumkan tentang keputusan Bersatu Perlis untuk mengugurkan Wan Saiful.
Beliau menambah yang parti akan menyiasat dakwaan serius dibangkitkan Wan Saiful, berkata sekiranya terbukti ada masalah integriti kepimpinan negeri akan dirombak. – 8 Januari, 2019.