KM jamin tarif air Pulau Pinang akan kekal terendah
Iklan
KERAJAAN Pulau Pinang hari ini memberi jaminan tarif air di negeri itu kekal terendah di negara ini walaupun Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli memutuskan untuk menaikkan tarif air seluruh negara.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang juga pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata berbanding negeri-negeri lain, tarif air di negeri itu akan kekal lebih murah.
Tarif semasa bagi pengguna domestik Pulau Pinang adalah pada 32 sen bagi 35,000 liter pertama. Kadar ini merupakan yang terendah di Malaysia.
“Tarif air di Pulau Pinang sudah pasti akan naik tetapi persoalannya, berapa banyak,” katanya.
Menurut Chow, rundingan dengan kerajaan Persekutuan berkenaan kenaikan tarif air di Pulau Pinang telah berjalan selama beberapa tahun.
“Ada beberapa kategori pengguna. Malah pengguna domestik pun ada kumpulan yang berbeza.
“Bagi sesetengah pengguna, kenaikan ini lebih tinggi… sebanyak berbelas peratus (11%-19%). Boleh jadi lebih 20%. Kena tunggu keputusan rasmi,” kata Chow ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar berkata kenaikan tarif sumber asli tersebut perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri tersebut dari sudut perkhidmatan.
Jelas Chow, jika tarif air dinaikkan, Pulau Pinang mungkin akan memansuhkan Surcaj Pemuliharaan Air (WCS) yang diperkenalkan untuk mengelak pembaziran. – 9 Januari, 2019.