Iklan

Tanah runtuh Bukit Kukus, Pulau Pinang tunggu hasil siasatan DOSH

Looi Sue-Chern6 years ago9th Jan 2019Berita
chow kon yeow tmi 2019
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata barisan exco negeri membuat keputusan untuk menunggu hasil siasatan agensi persekutuan keselamatan pekerjaan itu pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 9 Januari, 2019.
Iklan

KERAJAAN Pulau Pinang tidak akan mengambil tindakan ke atas tragedi maut tanah runtuh Bukit Kukus sehingga Jabatan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (DOSH) mendedahkan hasil siasatan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata barisan exco negeri membuat keputusan untuk menunggu hasil siasatan agensi persekutuan keselamatan pekerjaan itu pagi tadi.

“Pagi ini, exco negeri dibentangkan dengan laporan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan jawatankuasa khas diketuai Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang menyiasat kejadian tersebut.

“Setiausaha kerajaan negeri akan menghubungi DOSH untuk bertanyakan perkembangan terbaru (siasatan) dan bilakan arahan henti kerja tapak pembinaan boleh ditarik balik bagi membolehkan kerja-kerja diteruskan dan kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya.

“Buat masa sekarang, kami tidak akan ambil tindakan lagi sehingga DOSH mengumumkan keputusan dan hasil (siasatan). Kami akan tunggu DOSH dan apa sahaja maklumat (daripada laporan) akan hanya untuk pengetahuan dalaman,” katanya kepada wartawan di Komtar hari ini.

Chow enggan mendedahkan laporan MBPP dan jawatankuasa khas.

Katanya, DOSH akan mendedahkan hasil siasatan mereka kepada awam.

Tanah runtuh Bukit Kukus berlaku 19 Oktober lalu di projek pembinaan jalan raya milik MBPP.

Tragedi itu membunuh sembilan pekerja asing. Ketika kejadian, tiada kerja dijalankan.

DOSH mengeluarkan arahan henti kerja ke atas projek tersebut, yang sedang membina jalan raya menghubungkan Paya Terubong dan Relau.

Sebelum itu, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan tahunan RM2 juta kepada lima sekolah persendirian Cina. Sekolah itu memohon jumlah bantuan RM6 juta.

Chow berkata sekolah tersebut juga akan mendapat dana daripada kerajaan persekutuan, yang sudah memperuntukkan RM12 juta untuk 60 buah sekolah persendirian Cina seluruh negara.

Katanya, dana itu adalah untuk memenuhi janji PH yang bantuan kewangan akan diberikan kepada sekolah tersebut.

Beliau turut mengumumkan jadual Rumah Terbuka Tahun Baru Cina ketua menteri yang akan diadakan pada 6 Februari di Spice Arena, Bayan Baru bermula jam 3.30 hingga 5.30 petang. – 9 Januari, 2019.

Iklan
Iklan