Putrajaya akan tingkat hukuman jenayah hina raja
Iklan
PUTRAJAYA akan mencadangkan hukuman bagi kesalahan menghina raja-raja Melayu ditingkatkan melalui undang-undang baharu yang akan diperkenalkan nanti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri VK Liew.
Katanya, hukuman sedia ada sekarang tidak memadai untuk melindungi institusi diraja daripada “fitnah tidak berasas” yang tidak bertanggungjawab.
“Kita sedang meneliti soal hukuman kerana pada masa ini hukuman bagi kesalahan tertentu melibatkan monarki agak rendah,” katanya kepada wartawan di Putrajaya.
“Akan ada beberapa perubahan (pada undang-undang sedia ada) untuk memastikan raja berperlembagaan terus dilindungi daripada semua serangan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.”
Liew berkata demikian ketika timbul polemik mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap beberapa individu yang membuat komen berunsur penghinaan terhadap bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang turun takhta, Ahad lalu.
Beberapa peguam bagaimanapun mengkritik tindakan pihak berkuasa yang disifatkan tidak ubah seperti rejim kerajaan Barisan Nasional dulu yang menggunakan Akta Hasutan dengan melulu.
Ada juga yang mempersoalkan tindakan itu ketika Putrajaya menggantung penggunaan Akta Hasutan sementara dihapuskan seperti janji Pakatan Harapan dalam pilihan raya ke-14.
Beberapa pihak bagaimanapun mendesak kerajaan mencontohi Thailand yang tegas terhadap kesalahan menghina institusi raja. Undang-undang negara itu mengenakan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun.
Akta Hasutan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, hukuman penjara tidak lebih lima tahun.
Beberapa kes menghina raja-raja Melayu sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
“Kita akan ada perbincangan dengan penasihat undang-undang kementerian dan akan melihat undang-undang yang perlu dimansuhkan dan dipinda bagi sidang Parlimen tahun ini,” katanya.
Mengenai Akta Hasutan, Liew berkata perkara itu dalam bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri yang dijangka akan memutuskan kedudukannya hujung bulan ini.
Baru-baru ini, Kabinet mengecualikan penggantungan undang-undang warisan era British itu bagi siasatan terhadap kes rusuhan di sebuah kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor, November lalu. – 10 Januari, 2019.