Ibu pejabat ambil alih pengurusan Bersatu Perlis
Iklan
IBU pejabat Bersatu mengambil alih pengurusan parti di Perlis selepas pimpinan negeri berdepan krisis yang dibahaskan secara terbuka melalui media.
Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata tindakan tersebut diambil untuk menyelesaikan kemelut dalaman yang dihadapi oleh kepimpinan parti di Perlis.
“Ada kemelut dalaman… beberapa salah faham yang mencetuskan masalah.
“Saya terima banyak laporan tentang masalah ini. Jadi, ibu pejabat terpaksa masuk campur,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Marzuki bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan kemelut dalaman yang disebut. Beliau hanya berkata ia sepatutnya diselesaikan oleh kepimpinan negeri.
“Mereka tak dapat selesaikan. Sebaliknya, lebih banyak masalah yang timbul.
“Kalau ada masalah dengan seorang individu sekalipun, tak boleh nak terus hukum dia. Kena ada usaha mendidik dan beri nasihat kepada dia, selagi dia tak langgar undang-undang atau peraturan parti.”
Apabila ditanya jika barisan kepimpinan Bersatu Perlis akan mengalami sebarang perubahan, Marzuki berkata kepimpinan pusat akan mengadakan pertemuan dengan semua barisan kepimpinan Perlis sebelum dirombak.
“Kemudian, kita akan lantik jawatankuasa negeri,” kata beliau yang juga timbalan menteri luar.
Bersatu Perlis hanya terdiri daripada tiga bahagian iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar. – 10 Januari, 2019.