PKR Pulau Pinang bincang isu pengerusi Ahad ini
Iklan
SEMUA ketua cabang PKR Pulau Pinang dijangka mengadakan mesyuarat khas pada Ahad bagi membincangkan isu kekosongan kerusi pengerusi parti negeri itu.
Sumber parti berkata mesyuarakat itu dijadualkan berlangsung di Yayasan Aman di Permatang Pauh dan notis berhubung perkara itu sudah diedarkan. kepada semua 13 ketua cabang parti.
Notis itu menyatakan satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan pelantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar sebagai pengerusi PKR negeri menerusi sepucuk surat bertarikh 16 Disember oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Mesyuarat itu juga akan membincangkan pelantikan ahli majlis tertinggi negeri yang dimaklumkan menerusi sepucuk surat bertarikh 31 Disember oleh pejabat setiausaha agung parti.
“Nurul Izzah sendiri akan mempengerusikan mesyuarat khas itu pada Ahad,” kata sumber parti kepada The Malaysian Insight.
“Tetapi saya tidak pasti atas kapasiti apa beliau mempengerusikan mesyuarat itu, atau sama ada sebarang pengumuman akan dibuat selepas mesyuarat,”
Pada bulan lalu, PKR Pulau Pinang dikejutkan dengan peletakan jawatan Nurul Izzah sebagai pengerusi parti negeri dan ketua cabang mengadakan sidang media bagi menggesa beliau mempertimbangkan semula keputusan itu.
Sementara itu, sumber parti itu berkata beliau percaya semua ketua cabang termasuk Nurul Izzah yang masih merupakan ketua cabang Permatang Pauh, akan membincangkan isu pengerusi parti.
“Mungkin mereka akan mencapai beberapa keputusan pada Ahad,” katanya.
Pada Isnin, Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh Dr Afif Bahardin menggesa Anwar untuk melantik pengerusi PKR negeri yang baharu dengan segera bagi melicinkan pengurusan parti di negeri itu.
“Terdapat banyak isu pada tahun baharu ini melibatkan kepimpinan parti negeri. Operasi kerajaan negeri juga memerlukan pandangan PKR Pulau Pinang.
“Jika kita tidak melantik seorang pengerusi PKR negeri, peranan parti ini dalam kerajaan negeri juga akan terjejas,” kata Adun Seberang Jaya dan exco kesihatan itu.
Semalam, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin berkata parti memerlukan masa untuk membincangkan pelantikan pengerusi parti di Pulau Pinang.
Bernama yang memetik kenyataannya berkata, beliau percaya Anwar sama ada akan terus mengekalkan Nurul Izzah atau melantik pengerusi baharu. – 11 Januari, 2019.