Menteri boleh berkempen jika tidak salah guna kuasa, kata Azmin

Iklan
MENTERI adalah pemimpin parti dan mereka boleh menyertai kempen Pakatan Harapan di Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, kata Azmin Ali.
Menteri Hal Ehwal Eknomi itu berkata perkara penting yang perlu diambil kira oleh menteri yang terlibat adalah tidak salah guna jentera kerajaan atau kuasa mereka.
Azmin berkata menteri mempunyai tugas untuk menumpukan masalah rakyat dan menangani isu yang dibangkitkan.
“Kita perlu memastikan tiada salah guna kuasa. Saya menggunakan kereta sendiri ketika melawat Cameron Highlands dan tidak menggunakan kenderaan rasmi kerajaan.
“Kempen akan bermula esok, dan menjadi tugas menteri untuk mengetahui masalah yang dihadapi rakyat,” kata Azmin hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Bersih tentang kehadiran menteri di Cameron Highlands sebelum kempen pilihan raya adalah tidak beretika walaupun ia tidak melanggar undang-undang.
Pada Ahad lalu, Bersih berkata menteri perlu mengadakan lawatan dan program di kawasan parlimen itu selepas PRK itu berakhir pada 26 Januari ini. – 11 Januari, 2019.