Iklan

Kritikan jangan sampai menghina, kata pakar undang-undang

Looi Sue-Chern6 years ago12th Jan 2019Berita
Azmi sharom icerd forum klscah 04
Pensyarah undang-undang Azmi Sharom berkata mereka yang mengkritik Raja-Raja Melayu mesti menjaga adab dan tidak boleh melampaui batas dengan melemparkan penghinaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2019.
Iklan

RAKYAT perlu dibenarkan mengkritik institusi diraja negara ini tetapi tetapi ada batasnya, kata pensyarah undang-undang dalam program TV malam tadi.

Mereka yang mengkritik mesti menjaga adab dan tidak boleh melampaui batas dengan melemparkan penghinaan, kata Profesor Madya Azmi Sharom daripada fakulti undang-undang Universiti Malaya, sambil menambah tidak salah bagi rakyat bersuara jika Raja-Raja Melayu melakukan kesalahan.

“Tidak salah jika rakyat mengatakan sesuatu jika sultan melakukan beberapa kesilapan atau bertindak melampau. Tetapi tidak sesuai jika rakyat menggunakan bahasa tidak sopan,” katanya dalam satu wawancara dengan program TV AlHijrah, “Analisis” yang dihoskan oleh penerbit baharu Syafinaz Yunus, malam tadi.

“Beberapa komen yang menghina di Facebook tidak bermakna seluruh negara tidak sopan terhadap Raja-Raja Melayu. Mungkin hanya satu atau dua orang yang ‘kurang ajar’, tetapi kita begitu sensitif, bertindak seolah-olah seluruh negara seperti itu.

“Kita perlu lebih matang. Kita mempunyai monarki berperlembagaan iaitu kuasa raja-raja adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. Ini bukan era Kesultanan Melaka.”

Program ini membincangkan institusi diraja, keputusan Sultan Muhammad V turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong, penghinaan media sosial terhadap monarki dan bekas Agong, dan pelantikan Agong baharu dari perspektif undang-undang.

Penangkapan tiga pengguna media sosial di bawah Akta Hasutan kerana didakwa menghina bekas Agong juga dibincangkan.

Azmi meragui terdapat ratusan atau ribuan orang yang menghina monarki atau Raja-Raja Melayu.

“Kita tidak patut melihatnya secara emosi,” katanya, sambil menegaskan monarki lain di dunia juga berdepan kritikan kecuali di Thailand kerana undang-undangnya yang melindungi kerabat diraja dengan sangat ketat.

“Di Britain, golongan kerabat sentiasa dikritik tetapi monarki masih ada. Mereka hanya tidak memberi perhatian kepada kritikan.

“Kita tidak biasa (kerabat diraja dikritik di Malaysia), tetapi kita masih agak sopan santun.”

Mengenai penggunaan Akta Hasutan untuk menyiasat tiga pengguna media sosial, Azmi berkata beliau “sama sekali tidak bersetuju”.

Beliau berkata penggunaan undang-undang British lama tidak selaras dengan janji kerajaan Pakatan Harapan untuk memansuhkan undang-undang kontroversi seperti itu. – 12 Januari, 2019.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan