Iklan

Raja-Raja Melayu perlu telus dengan rakyat

Looi Sue-Chern6 years ago12th Jan 2019Berita
Agong epa 11 okt pic2
Kekecohan berhubung keputusan Sultan Muhammad V melepaskan takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini - yang pertama dalam sejarah Malaysia - dan kekurangan penjelasan mengenainya menimbulkan banyak spekulasi.– Gambar EPA, 12 Januari, 2019.
Iklan

RAJA-RAJA Melayu tidak perlu memberitahu segala-galanya kepada rakyat tetapi sedikit ketelusan boleh membantu mengekang spekulasi, kata pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Azmi Sharom.

“Adalah baik jika sedikit telus mengenai apa yang berlaku dengan raja-raja kita. Jika mereka berdiam diri, ia akan menimbulkan spekulasi.

“Tidak perlu menjelaskan segala-galanya tetapi cukup sekadar memberi alasan yang wajar kepada rakyat. Jika tidak, mereka akan membuat spekulasi,” katanya dalam satu temu bual malam tadi di program TV AlHijrah “Analisis” yang dihoskan penyampai berita Syafinaz Yunus.

Program malam tadi membincangkan mengenai keputusan Sultan Muhammad V dari Kelantan turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong, kritikan terhadap institusi diraja, penghinaan pengguna media sosial terhadap monarki dan bekas Agong, dan pelantikan Agong baharu dari perspektif undang-undang.

Kekecohan berhubung tindakan Sultan Muhammad V baru-baru ini - yang pertama dalam sejarah Malaysia - dan kekurangan penjelasan mengenai tindakan itu menimbulkan banyak spekulasi.

Berita mengenai peletakan jawatan itu juga mendapat perhatian di luar negara dan menjadi subjek propaganda kalangan media antarabangsa, sehingga memberi gambaran buruk kepada institusi diraja.

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Shamrahayu Abd Aziz, yang turut serta dalam program itu, juga memerhatikan betapa rakyat kini semakin kritikal terhadap institusi diraja sejak sedekad lalu.

“Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Raja-raja juga jangan beri alasan kepada rakyat untuk mengkritik mereka,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua ahli akademik undang-undang itu bersetuju Raja-Raja Melayu tidak seharusnya terlepas daripada kritikan, selagi rakyat menjaga adab ketika mengkritik.

Terdapat banyak bantahan selepas beberapa pengguna media sosial didapati menghina monarki dan Sultan Muhammad V awal minggu ini selepas beliau turun takhta. Polis sedang menyiasat tiga orang kerana menghasut berhubung kenyataan mereka.

Shamrahayu berkata penghormatan dan penerimaan institusi diraja harus ditanamkan pada kanak-kanak sejak awal, sambil menegaskan Raja-Raja Melayu mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam negara ini.

Institusi ini memberi keseimbangan apabila terdapat krisis politik seperti Parlimen tergantung, katanya.

“Mereka juga mempunyai peranan untuk mempertahankan identiti negara, keselamatan, dan memastikan keharmonian kaum, perpaduan dan kestabilan ekonomi.”

Azmi berkata Raja-Raja Melayu juga perlu memainkan peranan untuk menjelaskan fungsinya kepada rakyat.

Beliau juga berkata satu peranan penting Agong, yang dilantik daripada sembilan Raja-Raja Melayu setiap lima tahun, berperanan mewakili negara.

“Agong adalah wakil negara sementara perdana menteri adalah wakil kerajaan.

“Saya kasihan kepada Amerika Syarikat sekarang. Negara dan kerajaannya sama-sama diwakili oleh Donald Trump,” kata Azmi. – 12 Januari, 2019.

Iklan
Iklan