Tak rugi undi ahli Parlimen Pakatan di negeri BN, kata Guan Eng
Iklan
PENGUNDI Cameron Highlands tidak akan rugi apa-apa dengan mengundi calon Pakatan Harapan (PH) walaupun negeri Pahang masih diperintah oleh Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Beliau berkata pengundi di kerusi parlimen kawasan berbukit itu berada dalam kedudukan yang unik kerana akan memilih antara calon dari parti yang mengetuai kerajaan negeri dan calon yang mewakili Putrajaya
Lim, yang juga menteri kewangan, memberitahu The Malaysian Insight, Pakatan akan membantu membangunkan kawasan itu sebagai sebahagian daripada tugasnya sebagai kerajaan persekutuan.
Dan jika BN menang, ia juga bertanggungjawab membangunkan kerusi itu sebagai kerajaan negeri.
“Sama ada dia menang atau tidak, (mereka tetap) bertanggungjawab bangunkan Cameron Highlands kerana kawasan DUN (di sini) adalah besar.
“Sekiranya parlimen dimenangi PH, maka rakyat Cameron tidak rugi kerana, kerajaan negeri masih akan bangunkan, kerajaan persekutuan boleh turun untuk lebih membantu rakyat Cameron.
“Itu sebab rakyat haruslah bijaksana, buatlah keputusan yang tepat, betul dan strategik utk masa depan.” kata Lim kepada The Malaysian Insight di Cameron Highlands hari ini selepas penamaan calon di Tanah Rata pagi ini.
Lim berkata pengundi cenderung untuk tidak memberi tumpuan hanya kepada calon tetapi pihak yang diwakilinya.
“Jadi, pengundi perlu memilih kerajaan yang bersih,” katanya.
Pahang dan Perlis adalah satu-satunya negeri yang ditinggalkan di bawah pemerintahan BN selepas PH mengambil alih kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas.
Dua kerusi DUN di kawasan parlimen Cameron Highlands; pertama, Jelai, dipegang oleh BN yang diwakili Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail. sebuah lagi, Tanah Rata, yang diwakili oleh DAP Chiong Yoke Kong.
Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 26 Januari depan akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara M. Manogaran PH, Ramli Mohd Noor BN yang juga seorang calon Orang Asli dan dua calon bebas; Wong See Yee dan Sallehuddin Ab Talib.
Ini adalah kali pertama seorang calon daripada kalangan Orang Asli bertanding untuk kerusi di persekutuan.
Lim berkata Ramli adalah calon terbaik untuk BN tetapi menambah bahawa pegawai polis bersara itu memilih parti yang salah.
“Saya fikir calon BN memilih kapal yang salah kerana kapal tenggelam. Ia (BN) tidak dapat menolong dirinya sendiri, bagaimana ia akan menyelamatkan rakyat. “
Rasuah dijangka menjadi tema utama bagi PH dalam kempen ini kerana keputusan kerusi dalam PRU14 dibatalkan selepas mahkamah pilihan raya mendapati calon BN, C. Sivarraajh, telah memberi rasuah kepada pengundi menjelang pengundian tahun lepas.
Tempoh kempen selama 14 hari untuk pilihan raya kecil bermula hari ini dan pengundian akan diadakan pada 26 Januari. – 12 Januari, 2019.