Iklan

Henti beli ubat secara online, gesa persatuan farmasi

Bernard Saw6 years ago15th Jan 2019Berita
Medicine tmi
Kebanyakan pembeli dalam talian mudah terpengaruh dengan jaminan yang ditawarkan oleh pembekal yang kebiasaannya memberitahu pelanggan bahawa ubatan itu diimport. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2019.
Iklan

KALANGAN rakyat Malaysia menempah bahaya terhadap diri sendiri apabila membeli ubat secara dalam talian, demikian amaran Persatuan Farmaseutikal Malaysia.

Sehubungan itu, persatuan tersebut menggesa Kementerian Kesihatan agar bertindak dan mengekang gejala ini agar tidak melarat.

Pengarah eksekutifnya, Ewe Kheng Huat memberitahu The Malaysia Insight bahawa persatuanya berusaha memerangi aktiviti penjualan ubat palsu dalam talian.

“Tiada jaminan buat pengguna sama ada ubat yang dibeli adalah palsu atau hampir sama dengan saranan doktor,” kata Ewe.

“Walaupun penjualan ubatan palsu secara online tidak mencapai tahap yang membimbangkan, ia merupakan masalah yang lebih besar daripada dijangkakan rakyat Malaysia.”

Ewe berkata kebanyakan pembeli dalam talian mudah terpengaruh dengan jaminan yang ditawarkan oleh pembekal yang kebiasaannya memberitahu pelanggan bahawa ubatan itu diimport.

Katanya perkara yang menarik perhatian kalangan rakyat Malaysia untuk membeli ubatan secara dalam talian adalah kerana cara itu lebih mudah dan murah berbanding membeli ubat di kaunter.

Ewe berkata walaupun persatuannya dengan kerjasama kerajaan berusaha memerangi penjualan ubat palsu di kaunter telah berjaya, kini mereka berdepan tugas berat untuk memerangi aktiviti sama yang dijalankan secara dalam talian.

“Kami buntu. Peniaga dalam talian tidak mahu bekerjasama dan tiada undang-undang yang boleh memaksa mereka berbuat demikian,” kata satu lagi sumber kepada The Malaysian Insight.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh persatuan itu pada tahun lalu, hanya tiga ahlinya ditahan menjual ubat palsu di farmasi mereka dan Ewe menyifatkan perkembangan itu sebagai kejayaan kempen membanteras aktiviti tersebut yang dibuat di kaunter.

“Namun berbeza kisahnya untuk aktiviti penjualan ubat palsu secara dalam talian,” katanya.

Urusan perniagaan itu dipercayai mencecah sehingga RM2 juta dan peniaga dalam talian seolah-olah tidak bimbang terhadap cubaan untuk menghalang kegiatan mereka.

“Tiada kawalan setakat ini, tetapi kementerian sudah mula mengambil beberapa langkah,” kata Ewe.

Katanya tiada penguatkuasaan dilaksanakan dan syarikat farmasi tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan perniagaan tidak beretika itu yang boleh menjejaskan reputasi mereka.

Peniaga dalam talian bijak menyembunyikan aktiviti mereka apabila dikesan pihak berkuasa dengan hanya menukar alamat web dan terus menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Kebanyakan ubat palsu kelihatan sama seperti yang tulen,” kata Ewe. – 15 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan