Budak 2 tahun dijadikan tawanan di Sabah
Iklan
SEORANG lelaki dipercayai dalam usia 40-an menjadikan seorang budak perempuan berusia dua tahun sebagai tawanan dalam kejadian berlaku sekitar jam 4 petang tadi di Apartment Telipok Ria, Kota Kinabalu, Sabah.
Kejadian itu masih berlaku dan dipercayai lelaki itu turut mengugut untuk mencederakan budak tersebut.
Gambar diambil orang ramai yang berada di tempat kejadian menunjukkan lelaki itu mengacu sebilah pisau ke leher budak tersebut.
Akhbar Borneo Post terdahulu memetik kenyataan saksi yang berkata lelaki itu tiba-tiba sahaja menangkap budak tersebut yang sedang bermain di koridor bangunan apartment tersebut.
Dia kemudiannya membawa budak tersebut ke sebuah unit di tingkat empat apartment.
Pihak polis, bomba dan kecemasan sudah dikejarkan ke tempat kejadian.
Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah juga dilaporkan sedang menuju ke tempat kejadian.
Hadirin yang berkumpul di tempat kejadian mendakwa mendengar lima hingga enam das tembakan dilepaskan.
Drama tebusan itu berakhir pada jam 5.30 petang tadi dan budak tersebut dipercayai sudah dibawa masuk ke dalam ambulans yang menanti.
Sehingga kini, pihak berkuasa masih tidak mengesahkan sama ada lelaki tersebut ditahan, berjaya melepaskan diri atau ditembak.
Polis dijangka mengadakan sidang media tidak lama lagi. – 13 Januari, 2019.