Iklan

Timbalan menteri kem Rafizi ketuai PKR Pulau Pinang

Looi Sue-Chern6 years ago13th Jan 2019Berita
Pkr 2019
Mesyuarat PKR Pulau Pinang petang tadi di Permatang Pauh dipengerusikan Nurul Izzah Anwar. Muhammad Bakhtiar Wan Chik (berbatik) dilantik sebagai pengerusi, Sim Tze Tzin (belakang baju putih) sebagai timbalan. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Januari, 2019.
Iklan

PKR Pulau Pinang yang sudah dua bulan tidak berpengerusi selepas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar menolak pelantikan akan diketuai dua timbalan menteri buat masa sekarang.

Timbalan Menteri Pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang juga ketua Cabang Balik Pulau akan memangku jawatan pengerusi.

Manakala, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin yang juga ketua Cabang Bayan Baru sebagai timbalannya.

Kedua-dua timbalan menteri itu dikenali sebagai ahli “kem Rafizi Ramli” yang tewas dalam mencabar Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti tahun lepas.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga ketua Cabang Kepala Batas dilantik sebagai naib pengerusi PKR negeri.

Zulkifli Saad dan Francis Joseph kedua-duanya kekal sebagai setiausaha dan bendahari negeri.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan dikeluarkan Majlis Pimpinan Negeri petang ini di Yayasan Aman, Permatang Pauh selepas mesyuarat dihadiri kebanyakan 13 ketua cabang negeri.

Nurul Izzah yang mempengerusikan mesyuarat tersebut enggan menjawab soalan media selepas pertemuan berakhir.

“Saya dah kata kami akan keluarkan kenyataan bertulis,” katanya sebelum meninggalkan bangunan.

Semua ketua cabang yang hadir turut mengelak menjawab soalan media yang menunggu.

Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri tanpa pengerusi, pengerusi negeri lain sudah dilantik kepimpinan pusat.

Isnin lepas, Ketua Cabang Permatang Pauh Dr Afif Bahardin menggesa Anwar melantik pengerusi PKR Pulau Pinang secepat mungkin bagi memudahkan kerja pentadbiran.

“Banyak isu tahun baharu melibatkan kepimpinan parti negeri. Operasi kerajaan negeri juga memerlukan PKR Pulau Pinang memberikan pendapatnya.

“Jika kita tidak segera melantik pengerusi negeri, usaha PKR Pulau Pinang untuk memainkan peranannya dalam kerajaan negeri mungkin terjejas,” katanya. – 13 Januari, 2019.

Iklan
Iklan