Iklan

Bukan tanda salib tapi tulisan Cina, kata pemaju 

Looi Sue-Chern6 years ago14th Jan 2019Berita
Apartmen
Gambaran sebenar lampu bangunan apartmen Grace Residence di Bukit Jelutong, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Januari, 2019
Iklan

CAHAYA lampu di bangunan apartmen Grace Residence di Buit Jelutong, Pulau Pinang tidak dibuat untuk menunjukkan lambang salib atau mempunyai unsur keagamaan. 

Jurucakap pemaju Nova Mulia Development Sdn Bhd berkata, lampu di bangunan apartmen berkenaan, yang hampir 90% siap, sedang diuji. 

“Mungkin ketika gambar itu diambil, cahaya lampu berkenaan memaparkan bentuk salib. Namun ia bukan dibuat untuk menunjukkan lambang itu.

“Lampu juga di pasang pada tingkat atas dan di aras parkir juga, namun gambar itu tidak menunjukkan lampu di dua aras bawah dan atas bangunan berkenaan di pasang. 

“Jadi apa yang dapat dilihat hanya cahaya lampu yang berbentuk salib,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sekiranya semua lampu di tingkat atas dan aras parkir dipasang, ia akan menunjukkan perkataan Cina “wang” (王), yang bermaksud “raja”, atau “diraja”.

Ia juga merupakan nama yang biasa digunakan dalam masyarakat Cina, iaitu “ong” dalam dialek Hokkien, yang digunakan secara meluas di Pulau Pinang. 

“Itulah yang akan dipaparkan lampu berkenaan pada waktu malam,” tambahnya. 

Gambar menunjukkan lambang salib pada lampu bangunan apartmen berkenaan tular di media sosial, mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam berhubung gambaran simbol bagi agama Kristian itu. 

Minggu lalu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor mengeluarkan kenyataan menggesa pihak berkuasa mengarahkan pemaju terbabit mengubah kedudukan lampu bangunan itu bagi mengelakkan ia memaparkan lambang salib. 

Pada Sabtu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sudah meminta penjelasan daripada pemaju. Beliau juga berkata pemaju berkenaan sedang menguji lampu di bangunan kediaman itu. 

Chow berkata, ia adalah bangunan apartmen dan bukan rumah ibadat, dan beliau turut mengingatkan semua pihak agar menghormati sensitiviti pihak lain. 

Jurucakap pemaju terbabit berkata pihaknya sudah memaklumkan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang berhubung situasi itu. 

“Malah kami turut mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan pagi ini. Mereka memahami situasi ini,” katanya. – 14 Januari, 2019

Iklan
Iklan