Iklan

Berbilion kekayaan Sabah disonglap BN korup, kata Shafie 

Jason Santos6 years ago14th Jan 2019Berita
Shafie2
Mereka menggunakan proksi dan pihak ketiga untuk projek memewahkan diri sendiri, kata Ketua Menteri Shafie Apdal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 14 Januari, 2019.
Iklan

KEKAYAAN Sabah bernilai berbilion ringgit dalam pelbagai aspek termasuklah tanah, balak, kontrak, saham syarikat, hospital, bangunan sehinggalah kepada pesawat dijarah pemimpin korup sepanjang lebih 20 tahun Barisan Nasional berkuasa, kata ketua menteri. 

Mohd Shafie Apdal hari ini mendedahkan bagaimana pemimpin korup ini menggunakan pihak ketiga untuk menubuhkan syarikat dan melantik proksi bagi projek memewahkan diri mereka sendiri. 

“Set up itu sangat kompleks sehingga mereka melantik penama lain (pihak ketiga) untuk mengelak daripada ditahan. 

“Kerana inilah sekarang kita sedang melakukan perubahan dalam banyak agensi dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan). 

“Kami akan menyaring semua kontrak bagi memastikan tiada lagi proksi digunakan oleh ahli politik untuk buat duit cepat,” katanya dalam ucapan di sebuah majlis meraikan penjawat awam di Semporna hari ini. 

Shafie kemudiannya menamankan anak syarikat kerajaan negeri, Benta Wawasan yang diberikan 150,000 ekar tanah oleh kerajaan sebelum ini. 

“Sekarang, Benta hanya menguruskan 40,000 ekar, hanya 20,000 ekar yang digunakan untuk tanam kelapa sawit. 

“Selebihnya 110,000 ekar lagi diberikan kepada tauke kaya. 

“Tauke bukan hanya orang Cina, tetapi juga Melayu, Bajau…tetapi mereka semua tauke Umno,” katanya. 

Shafie turut menamakan Rakyat Berjaya Sdn Bhd dan Sabah Softwood yang berdepan banyak masalah selepas pertukaran kerajaan. 

“Kalau saya nak sebut satu satu, terlalu banyak. Kerana itulah mengapa sekarang kita teliti perjanjian era BN satu demi satu. 

“Saya tak akan teragak-agak membatalkan kontrak atau apa sahaja. 

“Masalah ini tak akan dapat diselesaikan dalam masa sehari,” katanya. – 14 Januari, 2019.

Iklan
Iklan