Media sosial main peranan besar sebar ideologi militan, kata polis
Iklan
MEDIA sosial merupakan masalah lebih besar berbanding sekolah agama dalam menyebarkan ideologi pengganas, kata ketua penguatkuasa anti pengganas polis hari ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay mengatakan tidak tepat mengatakan sekolah agama melahirkan pengganas, walaupun beliau mengakui elemen militan mungkin meresap ke institusi tersebut.
Bagaimanapun, penyebaran ideologi tersebut lebih luas dan cepat melalui media sosial.
Menurutnya, kebanyakan tangkapan berkaitan keganasan yang dibuat oleh polis beberapa tahun kebelakangan ini, sangat sedikit yang melibatkan sekolah Islam.
“Hanya satu atau dua kes melibatkan pelajar, yang ditangkap atas dakwaan penglibatan dengan IS (Islamic State).
“Saya rasa golongan daripada bidang agama adalah kumpulan terkecil di kalangan mereka yang ditangkap,” katanya kepada media hari ini selepas memberi taklimat tertutup mengenai ancaman keganasan semasa kepada wakil pengurusan ratusan sekolah agama Islam di Pulau Pinang.
Ayob berkata kebanyakan yang ditangkap berasal daripada pelbagai latar belakang. Sebahagian mereka adalah pensyarah universiti, polis, tentera dan orang awam.
“Mereka bukannya datang dari satu jenis institusi,” katanya, sambil menambah kebanyakannya tidak mempunyai asas agama yang kuat dan menyebabkan mereka mudah dipengaruhi apa yang dilihat di media sosial.
“Mereka belajar satu hadis, mereka mahu menjadi syahid, membunuh orang atau menjadi pengebom berani mati. Inilah yang perlu diperbetulkan.”
Sejak 2013, polis menangkap 453 orang berhubung dengan keganasan.
Ayob berkata terdapat penurunan bagi penangkapan berkaitan dengan keganasan tahun lepas tetapi ancaman masih wujud.
“Terdapat lebih 80 tangkapan tahun lepas. Walaupun sedikit, namun masih ada usaha aktif untuk merekrut pelajar kita untuk ke Syria dan Filipina selatan (menyertai kumpulan pengganas).
“Mereka akan terus mengeksploitasi agama untuk kepentingan sendiri. Saya memberitahu sekolah agama selagi kita berdepan masalah tersebut, masalah keganasan tidak akan berakhir,” katanya.
Justeru, penting bagi sekolah agama Islam seperti sekolah pondok dan madrasah belajar dan memahami isu keselamatan, kata Ayub, yang dijemput oleh bahagian pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang untuk bercakap mengenai keganasan.
“Unsur keganasan mungkin menyusup masuk ke sekolah melalui guru yang dibawa dari luar, atau dalam sekolah. Para pelajar mereka mungkin terdedah kepada ideologi pelampau.
“Dengan media sosial yang digunakan secara meluas pada zaman ini, semua orang boleh mengakses maklumat dengan mudah dan terdedah kepada ideologi melampau ini. Ia boleh merebak dan menghasut pelajar melanggar undang-undang.”
Ayob berkata pihak polis tidak dapat bekerja bersendirian melawan ancaman itu, mendesak sekolah agama dan orang awam memberi amaran kepada polis jika mempunyai maklumat atau mengesyaki kegiatan tersebut.
“Beritahu kami jika ada penyebaran ideologi bertentangan dengan ajaran Sunnah wal Jamaah.
“Polis akan memantau, menyiasat dan mengambil tindakan jika terdapat bukti melanggar undang-undang,” katanya. – 15 Januari, 2019.
Berita penuh di sini