Iklan

Kurangnya pengundi Cina, India bakal musnah impian Pakatan menang di Cameron

Lee Chi Leong6 years ago16th Jan 2019Berita
Cameron highlands ph 100918 tmiseth 01
PH mengharapkan lebih ramai pengundi Cina dan India keluar mengundi pada PRK Cameron Highland bagi membolehkan pakatan kerajaan memenangi kerusi dipegang oleh BN selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.
Iklan

JUMLAH pengundi Cina dan India yang kurang keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands mungkin menyukarkan sasaran Pakatan Harapan (PH) untuk menawan kerusi Parlimen itu, kata pengarah kempennya Wong Kah Woh.

PRK itu menjadi ujian pilihan raya terbesar untuk PH sejak pilihan raya umum lalu kerana pakatan pemerintah itu akan bertanding di kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU14 dengan majoriti undi hanya 597.

BN meletakkan seorang bekas ketua polis berketurunan Orang Asli dengan harapan untuk mendapatkan sokongan masyarakat itu yang membentuk 22% daripada jumlah pengundi, sementara calon DAP, M Manogaran yang sudah dua kali gagal menang di kerusi itu, bakal melakukan cubaan ketiga.

Untuk menang, Wong percaya amat penting untuk pengundi Cina dan India keluar beramai-ramai pada hari mengundi.

“Peratusan keluar mengundi akan menjadi cabaran terbesar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Dalam pilihan raya ini, hari mengundi hanya 10 hari sebelum Tahun Baharu Cina. Jika kita hendak dapat tahap sokongan yang sama seperti pada pilihan raya umum lalu, terutama di kawasan Cina dan India, kita perlukan jumlah keluar mengundi yang ramai,” katanya yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur.

Cameron Highlands antara kerusi yang mempunyai pecahan kepelbagaian kaum, dengan tidak ada satu kaum pun mewakili lebih 40% pengundi – 33.7% Melayu, 29.5% Cina, 14.9% India dan 21.9% Orang Asli dan lain-lain. Terdapat 32,008 pengundi di kawasan itu.

Calon DAP mewakili PH M Manogaran dua kali gagal menang di kerusi Cameron Highland dan bakal melakukan cubaan ketiga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

Terdapat 29 daerah mengundi di Cameron Highlands. Daripada jumlah itu, 17 di kerusi DUN Tanah Rata dipegang oleh DAP sementara 12 lagi di DUN Jelai, kawasan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail daripada BN.

DI tujuh daerah mengundi majoriti Melayu, PH hanya berjaya menang 9% daripada keseluruhan jumlah undi pada PRU14.

Pencapaiannya di sembilan daerah mengundi Orang Asli juga tidak begitu baik, hanya dapat 10.1% daripada undi keseluruhan.

“Khususnya daripada Melayu, sokongan jauh kurang berbanding apa yang kami terima secara purata di seluruh negara di mana kita dapat 30% sokongan Melayu,” kata Wong.

Sokongan PH terbesar di lima daerah mengundi majoriti Cina. PH menang 76.9% daripada keseluruhan undi di daerah itu berbanding 18.1% untuk BN. Di lima daerah mengundi majoriti India, PH menang 61.4% berbanding 26.8% untuk BN.

“Peluang kita akan baik sekiranya jumlah keluar mengundi kurang 70% kerana kita tahu mereka yang balik dari luar kebanyakannya ada kecenderungan menyokong kita,” katanya.

Jumlah pengundi keluar mengundi pada PRU14 ialah 78.4%. – 16 Januari, 2019.

Baca berita penuh di sini.

Iklan
Iklan