Iklan

Sekolah agama diberi amaran risiko sebaran ideologi pengganas

Looi Sue-Chern6 years ago16th Jan 2019Berita
Bukak puasa wawi 20180609 tmihasnoor 007
Pelajar sekolah agama terdedah kepada risiko terjebak ancaman pengganas Islam, walaupun risiko masih rendah untuk pelajar Malaysia, polis mahu pengurusan sekolah berwaspada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.
Iklan

POLIS sudah memberi amaran kepada pengurusan sekolah agama untuk memastikan ideologi pengganas tidak tersebar dalam kalangan generasi muda Islam terutama sekali menerusi media sosial ketika berlaku peningkatan keganasan di seluruh dunia.

Ketua penguatkuasa anti keganasan Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay Ayob memberi amaran tersebut ketika taklimat kepada ratusan pemimpin sekolah agama Pulau Pinang, berkata walaupun hanya beberapa orang suspek pengganas ada kaitan dengan sekolah agama, para guru bertanggungjawab memastikan pelajar mempunyai asas pemahaman Islam yang baik.

“Ayob beri kami taklimat bagaimana ideologi pengganas tersebar melalui media sosial, isu berkaitan keselamatan dan bagaimana polis ambil tindakan,” kata Mohd Jauhari Abd Wahad yang mempengerusikan lembaga pengarah Sekolah Agama Rakyat Jarak Atas di Tasek Gelugor.

“Saya rasa polis sedang buat yang terbaik. Saya rasa SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) juga aktif memantau media sosial untuk unsur ekstremis.

“Walaupun situasi tidak seburuk tempat lain, kita tak mahu pengganas (bertapak) di sini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebelum itu, Ayob memberitahu wartawan yang 453 orang ditangkap sejak 2013 atas pertuduhan keganasan, beberapa orang dari sekolah agama.

Bagaimanapun, ketua penolong pengarah Cawangan Khas Counter Terrorism Bukit Aman itu memberi amaran yang unsur pengganas mungkin meresap masuk ke dalam sekolah melalui guru dari luar atau dalam sekolah dan perlunya pengurusan sekolah memantau kurikulum pelajar.

Ketua anti keganasan Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay Ayob memberi taklimat kepada pengurusan sekolah agama Pulau Pinang semalam, meminta mereka memantau bahaya hebahan ideologi pengganas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

Ibrahim Abu Bakar, pengerusi Madrasah Abu Bakar yang terletak di Tasek Gelugor berkata beliau percaya sekolah agama perlu berwaspada terhadap kemungkinan wujudnya ancaman pengganas Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS).

“Kita perlu berwaspada dengan pengaruh musuh yang mahu mencemarkan Islam. Mangsa yang terpengaruh akan terlibat dalam aktiviti pengganas.

“Tetapi ia mencabar. Bukan mudah hendak kesan mereka. Kita berurusan dengan orang yang pandai berpura-pura. Kadang-kadang kita tak tahu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang Rosli Othman berkata menjemput Ayob untuk memberi taklimat kepada pengurusan sekolah agama adalah langkah mencegah bagi menghalang penyebaran ideologi pengganas.  

“Kami mahu ambil langkah awal kerana mencegah lebih baik daripada menyembuh. Sebelum masalah bermula, lebih baik beri pengurusan sekolah kesedaran supaya mereka boleh ambil tindakan wajar.

“Setakat ini, kita tidak terima laporan tentang ideologi pengganas disebarkan dalam sekolah Islam negeri ini. Pulau Pinang okay. Tak ada masalah,” katanya.

Peningkatan keganasan melibatkan pengganas Islam di seluruh dunia merisaukan pihak berkuasa yang mahukan semua pihak terutama sekolah agama berwaspada tentang risiko hebahan ideologi pengganas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

Rosli berkata terdapat lebih 400 sekolah agama berdaftar dengan jabatan agama Islam negeri dan sukatan pelajaran mereka diiktiraf Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

“Kami akan ambil tindakan jika kami dapati mana-mana sekolah mengajar pelajarnya ajaran bertentangan dengan Sunnah Wal Jamaah. Tetapi setakat ini, tiada kes sebegitu,” katanya.

Rosli juga menggesa ibu bapa dan masyarakat untuk bekerjasama dengan pengurusan sekolah bagi memantau aktiviti media sosial generasi muda.

“Kami harap ibu bapa dan masyarakat boleh bantu. Kita tak mahu anak-anak kita terjatuh dalam perangkap (keganasan) atau terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan.” – 16 Januari, 2019.

Iklan
Iklan