Putrajaya arah naik tarif air untuk kurangkan penggunaan tinggi Pulau Pinang
Iklan
KERAJAAN Pulau Pinang berkata keputusan menaikkan tarif air susulan gesaan Putrajaya agar ia meneruskan langkah mengurangkan penggunaan air yang tinggi di negeri ini.
Penggunaan air domestik Pulau Pinang adalah tertinggi di negara ini pada kadar 276 liter per kapita sehari pada 2017, jauh lebih tinggi daripada kadar purata negara iaitu 201 liter per kapita sehari.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Jaseni Maidinsa berkata meskipun tekanan berterusan daripada kerajaan persekutuan untuk mengurangkan penggunaan air, kerajaan hanya menaikkan tarif sekali sahaja iaitu pada 2015 sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih.
Pengguna domestik di Pulau Pinang kini membayar 32 sen bagi setiap 1,000 liter hingga 35,000 liter. Mereka yang menggunakan lebih 35,000 liter pertama akan membayar surcaj penjimatan air (WCS) sebanyak 48 sen.
WCS diperkenalkan pada 2010 untuk menggalakkan pengguna domestik menjimatkan air. Surcaj itu ditetapkan pada 24 sen setiap 1,000 liter sebelum ia dinaikkan kepada 48 sen pada 2013.
Surcaj itu, yang sangat ditentang oleh penduduk ketika itu, juga dikenakan susulan permintaan menteri yang bertanggungjawab terhadap air ketika itu, kata Jaseni.
“Kami hanya mengikuti arahan mengurangkan penggunaan air dalam keadaan menekan ini. Sekarang kita menggunakan 276 liter per kapita sehari, yang tertinggi di negara ini.
“Ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan kerana kami berada di atas purata 201 negara. Di Singapura, penggunaan air hanya 143 liter setiap per kapita sehari, yang berada di bawah saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Tanpa bayaran tambahan WCS, penggunaan air akan meningkat kepada 319 liter per kapita sehari, Jaseni berkata.
Baru-baru ini, bekas perdana menteri Najib Razak menyuarakan kritikan terhadap rancangan Pulau Pinang mengenakan bayaran lebih banyak terhadap air kerana ia akan membebankan golongan miskin.
Bagaimanapun, Jaseni menafikan kenaikan tarif akan membebankan golongan miskin tegar kerana isi rumah itu menerima air percuma sehingga 60,000 liter bagi setiap kitaran.
Pada Isnin, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang juga pengerusi PBAPP, berkata kenaikan tarif akan membolehkan perbadanan memperoleh lebih banyak pendapatan untuk membiayai lima projek kejuruteraan air utama, yang akan menelan kos RM501 juta dan akan dilaksanakan tahun ini sehingga 2021.
Semalam, beliau berkata PBAPP juga akan kurang membelanjakan subsidi air bagi membolehkan perbadanan membiayai projek yang akan melindungi masa depan bekalan air Pulau Pinang. – 16 Januari, 2019.