Marah kos tinggi, petani Cina berat hati sokong Pakatan
Iklan
KENAIKAN kos input menyebabkan keuntungan petani di Cameron Highlands berkurangan, menambah kekecewaan mereka terhadap kerajaan baharu yang dipilih pada pilihan raya umum 2018, tetapi kini dikatakan tidak cukup mengurangkan beban mereka.
Di Ulu Ringlet, Zhuo, 67, seorang petani berkata harga baja dan racun serangga meningkat dan menyebabkan 50% kos pertanian sementara hasil tanaman masih dijual kepada pengedar pada harga sama.
“Apa yang berubah walaupun kita sudah ubah kerajaan? Barang semua semakin mahal,” katanya.
Zhuo berkata sebotol besar racun serangga biasanya berharga RM160 tetapi kini naik antara RM170 dan RM180.
Katanya, kos itu meningkat sejak lima tahun lalu, tetapi kini sampai ke tahap di mana harga jualan tidak dapat hendak menampung kos.
“Harga barang makin naik tetapi harga sayur masih jatuh. Tidak kira di bawah cukai apa pun, pekebun beroperasi dalam kerugian. Nilai kecil dalam sayuran, sementara kos saja cecah 50%,” katanya.
Zhuo berkata pekebun tidak boleh menaikkan harga untuk menampung kos kerana terpaksa menjual hasil kepada orang tengah.
Beri PH lebih masa
Pengundi Cina membentuk 30% pengundi di Cameron Highlands, yang terkenal sebagai destinasi pelancongan kerana cuaca sejuknya yang membolehkan ladang strawberi, bunga dan sayuran tumbuh subur, selain tanah tingginya yang ditanam dengan ladang teh.
Pada PRU14, PH menang hampir 77% undi Cina sementara Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 18%.
Masyarakat pertanian terasa impak kenaikan kos sara hidup dan mendapati isu seperti skandal 1Malaysia Development Bhd dan hutang RM1 trilion sebagai kebimbangan kedua mereka.
Selain rasa kecewa, sesetengah pekebun dari Ringlet, Habu dan Lembah Bertam masih menyokong PH pada pilihan raya kecil (PRK) ini dengan harapan kerajaan baharu akan akhirnya menangani kebimbangan mereka.
Pasangan pekebun yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata mereka akan mengundi untuk PH pada PRK akan datang sementara melihat bagaimana pencapaian kerajaan sepanjang penggal ini.
“Kita akan lihat apa yang boleh mereka selesaikan dan berharap mereka akan dapat membantu,” katanya.
Katanya, kerajaan PH perlukan lebih masa untuk menangani hutang yang diwarisi dan isu lain daripada kerajaan terdahulu.
Seorang lagi penduduk, Ong berkata beliau tidak rasa perbezaan besar di bawah kerajaan baharu tetapi sedia untuk memberi lebih masa kepada PH.
Heng, 82, menyokong BN dan berkata tidak akan memilih PH kerana tidak ada bezanya sejak kerajaan baharu memerintah.
“Siapa pun yang dipilih, tidak akan memberi faedah kami. Sudah lapan bulan selepas kerajaan berubah, kami tidak rasa berbeza pun,” katanya.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata PH akan memberi penjelasan kepada petani bahawa antara sebab kos pertanian meningkat adalah kerana kadar pertukaran ringgit yang rendah.
Beliau berkata penyelesaian jangka panjang ialah membangunkan kajian dan teknologi pertanian supaya Malaysia tidak perlu bergantung pada baja dan racun serangga yang diimport.
“Kita juga mula menggunakan teknik penanaman lebih maju, menyelesaikan isu ini menerusi teknologi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, masalah dengan orang tengah juga akan ditangani dengan konsep “kebun untuk keluarga” yang baharu di mana kementerian sedang mengusahakannya.
Faktor Tahun Baharu Cina
Waktu PRK yang hampir dengan festival Tahun Baharu Cina juga satu lagi kebimbangan dengan pemimpin PH bimbang ia akan menjejaskan jumlah pengundi keluar mengundi.
Pengarah Kempen PRK PH Wong Kah Woh yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur memberitahu The Malaysian Insight gabungan itu memerlukan jumlah yang keluar mengundi tidak kurang 70% untuk peluang lebih cerah memenangi kerusi itu.
Kebimbangan itu berasas, melihat kepada reaksi petani.
Wong dari Habu berkata petani lain ramai yang kata anak mereka yang bekerja dan tinggal di tempat lain tidak merancang untuk pulang mengundi.
Pada PRU14 berita tentang pengundi pulang mengundi penuh di media sosial, tetapi tahap keterujaan itu tidak kelihatan pada PRK kali ini.
PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Ramli Mohd Nor, M. Manogaran daripada PH dan dua calon bebas Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.
PRK itu diadakan selepas mahkamah pilihan raya membatalkan keputusan PRU14 pada November susulan ada bukti berlakunya pembelian undi dan politik wang membabitkan calon BN yang menang, C Sivarraajh yang kini turut digantung daripada bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun. – 17 Januari, 2019.