Orang asal paling terpinggir di Malaysia, kata ketua hakim
Iklan
MALAYSIA sudah mengguna pakai Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) sejak sembilan tahun yang lalu, namun komuniti itu masih terabai dan dipinggirkan di negara sendiri, kata Ketua Hakim Richard Malanjum.
Menurut beliau, sehingga kini masih tiada audit tentang sejauh mana usaha kerajaan dalam mengiktiraf hak-hak orang asal.
“Malangnya, tidak banyak kumpulan yang mendesak supaya hak mereka diiktiraf. (Dan) pihak berkuasa tidak berbuat apa-apa melainkan ada desakan dari luar,” kata Malanjum semasa merasmikan Persidangan Undang-undang Hutan Borneo di Kota Kinabalu hari ini.
Orang asal terdiri 15% daripada penduduk dunia dan satu pertiga daripada mereka tergolong dalam miskin tegar, kata beliau.
“Cabaran terbesar mengenai apa yang berlaku sekarang ialah orang asal ini hilang hak mereka hari demi hari.”
Baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, koflik antara antara orang asal dan pihak berkuasa atau firma-firma swasta adalah melibatkan isu tanah, pencemaran sungai, penjarahan hutan atau isu berkaitan aktiviti pemburuan.
Berlaku juga kes di mana orang asal yang dianggap sebagai orang tiada kerakyatan disebabkan mereka tinggal di pedalaman Sabah dan sukar untuk membuat kad pengenalan atau mendaftar kelahiran anak mereka disebabkan jarak yang terlalu jauh. – 17 Januari, 2019.
MENYUSUL