Pakatan bermesyuarat malam ini ketika PKR hadapi krisis terbesar
Iklan
MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat malam ini ketika parti komponennya PKR berdepan dengan krisis terbesar sejak Ketua Umum Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Mesyuarat itu sudah dijadualkan lebih awal sebelum Naib Presiden PKR Rafizi Ramli semalam mendesak partinya mengadakan kongres khas untuk mendapatkan pandangan ahli berhubung isu kerjasama dengan PAS.
Sumber PH bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight gabungan pembangkang itu tidak akan menjadikan isu perpecahan PKR itu sebagai tajuk perbincangan.
“Itu isu dalaman PKR, PH tak akan masuk campur urusan dalaman parti komponen.
“Berbincang secara tidak formal itu mungkin ada tetapi tidak masuk dalam agenda perbincangan malam ini,” katanya kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak dinamakan.
Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad malam tadi berkata gabungan itu akan membincangkan mengenai hubungan di antara PKR dan PAS pada mesyuarat hari ini.
Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada beliau bersetuju dengan pendirian PKR yang mahu terus mengadakan perbincangan dengan PAS.
Satu lagi sumber turut memberitahu The Malaysian Insight, isu dalaman PKR tidak akan menjadi tajuk perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH malam ini walaupun isu perbincangan parti itu dengan PAS mungkin akan dibincangkan.
“Perkara penting yang akan kami bincangkan malam ini ialah pelantikan pengerusi-pengerusi PH negeri yang belum dilantik.
“Selain itu, kami akan mendengar pembentangan laporan mengenai rundingan kerusi, laporan jawatankuasa pilihan raya dan jawatankuasa manifesto,” kata sumber itu.
Sumber itu berkata, mesyuarat PH hari ini akan turut membincangkan mengenai tawaran gabungan itu kepada Sabah dan Sarawak.
Dalam kenyataannya menuntut kongres khas semalam, Rafizi turut menyenaraikan nama pemimpin PKR yang menyokong dan menentang kerjasama dengan PAS.
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini menolak keperluan mengadakan kongres khas dan mempersoalkan mengapa Rafizi mendedahkan isu dalaman parti kepada media.
“Itu adalah pandangan peribadi yang tidak dibincangkan oleh parti. Dalam mana-mana organisasi perbezaan pandangan dan pendekatan memang berlaku.
“Namun kepimpinan membawa maksud kita mesti mempunyai keupayaan untuk menguruskan perbezaan pandangan dan pendekatan dengan bijaksana dan tertib.
“Tidak ada keperluan untuk mendedahkan perkara ini kepada media kerana kepimpinan yang ada pada masa ini dipilih oleh akar umbi,maka kita kena beri mandat kepada kepimpinan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Bagaimanapun hari ini sekumpulan pemimpin akar umbi menyokong desakan Rafizi agar kongres khas diadakan mengatakan isu kerjasama dengan PAS mengelirukan mereka.
Ketua PKR Cabang Rembau Yusuf Tapar berkata isyarat yang pelbagai itu mengelirukan jentera parti di akar umbi yang sepatutnya menumpukanperhatian ke arah usaha mengukuhkan kerjasama dalam PH.
“Setakat ini kita ada 56 cabang yang setuju (kongres khas diadakan) dan kita yakin akan dapat sokongan daripada 20 cabang tidak lama lagi untuk memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah perlembagaan parti,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, mewakili jawatankuasa bertindak Harapan Pakatan.
Mereka berharap akan dapat mengumpul sokongan sekurang-kurangnya 73 daripada 218 cabang atau satu pertiga daripada jumlahcabang PKR bagi mendesak setiausaha agung parti memanggil satu kongres khas bagi membincangkan isu yang berbangkit.
Akan tetapi Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin menyelar Rafizi berhubung cadangan mengadakan kongres khas, mengatakan ahli Parlimen Pandan itu sepatutnya memberi cadangan kepada Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail agar mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dengan segera memandangkan kali terakhir ia diadakan pada 19 Mei lalu.
“Kenyataan Rafizi amatlah bertentangan dengan pendirian parti kerana sehingga hari ini masih tidak ada kata putus untuk meletakkan PAS bersama PH.
“Rundingan dan perbincangan tidak rasmi ini adalah untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru semasa pilihan raya umum danmeningkatkan peluang PKR untuk memenangi pilihan raya.
“Oleh itu, tidak ada asas langsung untuk memanggil satu kongres khas,” kata Afif yang juga exco Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini. – 28 Ogos, 2017.