Beberapa minggu diperlukan balas saman anak Karpal, kata Malanjum
Iklan
KETUA Hakim Negara Richard Malanjum berkata beliau akan mengambil masa beberapa minggu untuk memfailkan afidavit jawapan terhadap cabaran undang-undang oleh dibuat oleh anak perempuan Karpal Singh.
Malanjum, yang melancarkan tahun undang-undang bagi Sabah dan Sarawak hari ini, berkata kertas mengenai perkara itu sedang dibuat.
“Ia akan mengambil masa beberapa minggu tetapi saya akan memfailkan afidavit,” katanya, sambil menambah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerlukan afidavitnya difailkan sebelum 11 Februari.
Sangeet Kaur Deo memfailkan saman pemula pada 14 Januari yang meminta pengisytiharan bahawa ketua hakim negara gagal melaksanakan tugasnya sebagai ketua badan kehakiman untuk mempertahankan integriti dan kredibiliti badan itu berhubung dua tuduhan serius terhadap campur tangan kehakiman berkaitan keputusan rayuan kes hasutan ayahnya dan guru tadika M. Indira Gandhi.
Sangeet mendakwa masalah itu timbul ketika peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengeluarkan kenyataan yang mendakwa hakim kanan campur tangan terhadap penghakiman rayuan kes hasutan Karpal.
Malanjum berkata hari ini badan kehakiman Malaysia menggantung siasatannya kerana polis juga melancarkan siasatannya sendiri, sambil menambah rayuan kes itu masih belum selesai di mahkamah persekutuan.
“Ia sangat jelas kerana beberapa sebab, kami tidak mahu menjejaskan siasatan polis, dan juga untuk memastikan tiada prejudis terhadap kes itu, selain daripada rayuan itu.”
Karpal meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 17 April 2014.
Beliau didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mengatakan penyingkiran Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar boleh dipersoalkan di mahkamah.
Pada 21 Februari 2014, Mahkamah Tinggi mendapati Karpal bersalah. Pada 30 Mei 2016, sabitan beliau dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.
Dalam samannya, Sangeet juga mendakwa terdapat gangguan kehakiman dalam kes Indira Gandhi ketika hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer mendedahkan beliau ditegur oleh seorang hakim kerana menyampaikan penghakiman bertentangan dua tahun lalu dalam kespenukaran agama anak Indira kepada Islam oleh bekas suaminya.
Dalam afidavitnya, Sangeet berkata beliau memfailkan saman pemula “berdasarkan kegagalannya (Malanjum) setakat ini untuk menyiasat dan menyelesaikan siasatan berkaitan dengan dua tuduhan yang serius terhadap campur tangan kehakiman dalam badan kehakiman Malaysia”. – 18 Januari, 2019.