Pakatan ubah tempat majlis makan malam kumpul dana
Iklan
PAKATAN Harapan (PH) terpaksa mengadakan majlis makan malam untuk mengumpul dana di Cameron Highlands di tempat lain esok selepas jawatakuasa yang menguruskan dewan membatalkan tempahan.
Majlis makan malam anjuran DAP itu sebaliknya akan diadakan di Kampung Raja, kata Pengarah Pilihan Raya PH, Wong Kah Woh.
Kata Wong, mereka pada awalnya telah menempah sebuah dewan serbaguna di Tringkap pada minggu lepas dan berjaya menjual tiket untuk 55 buah meja.
“Tetapi semalam, jawatankuasa kampung beritahu yang kami tak boleh guna dewan.
“Majlis itu nanti akan dihadiri oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran dan beberapa pemimpin parti yang lain,” katanya ketika ditemui permberita di Tanah Rata hari ini.
Dewan di Kampung Raja mampu memuatkan 100 buah meja. Bagi mengumpul dana untuk kempen pilihan raya kecil di Cameron Highlands, DAP mengenakan RM600 bagi setiap meja.
Adun Tanah Rata Chong Yoke Keong berkata semalam beliau dimaklumkan oleh ketua kampung di Tringkap yang DAP tidak boleh menggunakan dewan serbaguna mereka untuk mengadakan majlis makan malam.
“Bila kami tanya kenapa, dia cakap tak boleh guna dewan untuk tujuan politik.
“Bagi saya, alasan itu tak boleh dipakai. Ketua kampung juga kata mereka dapat tekanan dari ketua mereka.
“Ini alasan yang merepek dan ini bukannya kali pertama DAP adakan aktiviti di sini.”
Beliau berkata DAP ketika masih jadi pembangkang pernah menganjurkan festival kuih bulan di Tringkap pada 2013 dan pada masa itu tiada halangan dikenakan.
“Dewan ini bukan milik persendirian, ia milik orang ramai.
“Penduduk di sini yang kumpul dana bina dewan, DAP juga beri sumbangan,” katanya.
Calon PRK Cameron Higlands PH, M. Manogaran kesal dengan tindakan jawatankuasa kampung Tringkap yang membatalkan tempahan mereka.
Manogaran berkata masalah seperti ini sudah biasa dihadapi ketika mereka jadi pembangkang, dan situasi sama yang dihadapi ketika PH mengambil kuasa kerajaan amat mengejutkan.
“Kita tak mahu perkara yang sama berlaku dalam Malaysia Baharu. Setiap orang sepatutnya boleh gunakan dewan.” – 18 Januari, 2019.