Iklan

Persatuan peguam Sabah nafi majlis sosial cemar nama

Jason Santos6 years ago19th Jan 2019Berita
Legal year sabah irwan 09
Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah Brenndon Soh berkata majlis sosial semalam adalah gambaran kehidupan harmoni pelbagai masyarakat Sabah dan Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 19 Januari, 2019.
Iklan

PERSATUAN Undang-Undang Sabah (SLS) menolak tuduhan beberapa pihak yang acara tarian pada sebuah majlis badan perundangan di Kota Kinabalu semalam menjejaskan institusi perundangan dan kehakiman negara.

Presiden Brenndon Soh berkata majlis makan malam tahunan itu secara tradisinya disambut kelompok perundangan Sabah dan Sarawak selepas prosiding rasmi yang diadakan pagi semalam.

“Majlis itu adalah sambutan tertutup oleh semua pihak berkepentingan badan perundangan, iaitu ahli kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan ahli persatuan.

“Ia juga adalah majlis bersama antara kehakiman dan majlis peguam yang berlaku sejak 2001 dan kemuncak kematangan komuniti perundangan,” katanya dalam satu kenyataan selepas sebuah video jadi tular di media sosial menunjukkan peguam dan hakim tertinggi negara menari dalam sebuah majlis.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengecam video tersebut yang menampilkan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong menari di atas pentas bersama-sama beberapa orang peguam yang dianggap pro Pakatan Harapan termasuklah Ambiga Sreenevasan dan Siti Kasim.

Kecaman Pemuda Umno itu turut menyebabkan Siti membidasnya di Facebook, menyifatkan ia tidak berasas dan majlis itu bukan bersifat politik.

Majlis makan malam itu adalah sebahagian aktiviti dalam Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak yang bermula pada 26 Julai, dan pagi semalam lebih kurang 200 peguam Malaysia Barat mengambil bahagian dan acara jalan simbolik menandakan permulaan tahun perundangan baharu.

Tahun perundangan Sabah dan Sarawak secara simboliknya berlaku semalam apabila hampir 200 orang peguam dan hakim berjalan kaki di Kota Kinabalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 19 Januari, 2019.

Mereka kemudiannya menghadiri majlis makan malam di Magellan Sutera Harbour yang turut dihadiri Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Soh berkata sangat mengecewakan majlis itu dipolitikkan pihak tertentu sedangkan ia adalah kebiasaan menggambarkan keramahan penduduk Sabah dan Sarawak yang hidup aman harmoni.

“Satu-satunya ‘twist’ adalah hakikat yang kami percaya masyarakat kita sudah cukup matang untuk mengenali individu dalam video mampu memisahkan kehidupan profesional mereka daripada kehidupan peribadi.

“Sangat menyedihkan untuk komuniti perundangan jika ahli merasakan terhalang daripada menari di majlis tahunan seperti OLY 2019 kerana kritikan tidak berasas,” katanya. – 19 Januari, 2019.

Iklan
Iklan