Dilema isu tanah pertanian Cameron Highlands
Iklan
APABILA bercakap tentang Cameron Highlands, yang selalu diingati adalah cuacanya yang dingin, strawberi ranum serta kebun sayur dan buah-buahan yang menghiasi teres tanahnya. Tetapi di tanah tinggi ini, bukan semuanya cetus bahagia, terutama untuk petaninya.
Selain pembangunan berlebihan, ladang haram dan tanah runtuh, kebimbangan utama petani adalah ketidakmampuan memiliki tanah yang mereka usahakan atau tidak mampu memperbaharui Lesen Operasi Sementara (TOL) untuk kebun mereka.
Tinjauan yang dilakukan dengan Pejabat Tanah mendapati daripada 717 km persegi tanah Cameron Highlands, hanya 3% - atau 3,327 hektar dibahagikan kepada 2,100 plot tanah - mendapat TOL.
Bertambah buruk, hanya 22 pegawai tanah yang menguruskan kelulusan dan pembaharuan 2,100 TOL.
Walaupun TOL perlu diperbaharui setiap tahun, proses kelulusan perlu dilakukan semula setiap empat tahun yang menyebabkan petani perlu memohon sekali lagi lesen dan Pejabat Tanah sekali lagi menilai permohonan itu.
9% lagi tanah di Cameron Highlands atau 6,175 hektar diberikan geran pertanian yang selalunya tidak berdepan masalah pembaharuan.
Seorang pegawai tanah yang tidak mahu mendedahkan namanya berkata mereka sudah membangkitkan masalah kekurangan pegawai dengan kerajaan negeri tetapi masih tidak menerima tambahan kakitangan.
“Kami tak cukup orang, kami hanya boleh gunakan sepenuhnya 22 pegawai ini,” katanya.
Pegawai juga mendedahkan situasi tanah di Cameron Highlands berbeza dengan kawasan lain di Pahang kerana ia memerlukan laporan tahunan.
“Cameron Highlands kes khas, jadi kami perlu upah pegawai petempatan untuk sediakan laporan tahunan.”
Apabila petani memohon pembaharuan lesen, kriteria umum yang perlu dipenuhi adalah memastikan kawasan sekitar tidak terusik dan petani tersebut tidak melanggar syarat lain lesen.
“Pegawai petempatan akan pergi ke lokasi untuk menilai situasi dan mempertimbangkan syarat lesen, kemudian menyediakan cadangan teknikal, memastikan petani tidak beroperasi melepasi batas tanah mereka, dan menyediakan laporan menyeluruh kepada majlis exco kerajaan negeri supaya mereka boleh memutuskan sama ada untuk meluluskan atau menolak permohonan,” kata pegawai itu.
“Selain itu, lereng Cameron Highlands juga jadi isu, dan pegawai petempatan perlu periksa setiap inci. Kami sekarang hanya ada 22 pegawai yang layak berbuat demikian.
“Walaupun kami cukup-cukup untuk bekerja, kami sudah mintak kerajaan negeri beri lebih ramai kakitangan dan mereka yang berada di sini akan terus bekerja.”
Petani yang mendapat TOL perlu membayar RM607 per ekar (0.4 hektar), dengan bil air RM480 per ekar. Misalnya, mereka perlu membayar RM960 bil air untuk tanah seluas dua ekar.
Dilema petani
Seperti ramai petani lain, Zhong, 56, dari Ringlet berdepan kesukaran memperbaharui TOL dan akan terus memohon untuk tahun depan sebaik sahaja menerima kelulusan untuk tahun ini.
Pada 2017, beliau dan isterinya sudah membayar kos pembaharuan untuk 2018 selepas menerima kelulusan untuk 2017, tetapi permohonan itu sehingga kini masih belum dapat kelulusan.
“Kami ada TOL, dan Pejabat Tanah patutnya ada rekod, tetapi pembaharuan untuk 2018 masih tak lulus, tetapi kami tak diganggu oleh pegawai tanah,” katanya.
Zhong malah terpaksa berkunjung ke Pejabat Tanah di Tanah Rata dari Ringlet untuk mengetahui status permohonannya tetapi hanya diminta sabar dan tunggu keputusan.
Dan kerana kelulusan akhir terletak pada tangan menteri besar, Zhong juga pergi ke Kuantan untuk bertanyakan tentang permohonannya, tetapi kecewa apabila dimaklumkan yang kerajaan negeri masih tidak menerima dokumen berkaitan daripada Pejabat Tanah Cameron Highlands.
Situasi abang ipar Zhong lebih buruk, apabila tidak dapat memperbaharui TOL sejak enam tahun lepas.
Walaupun setakat ini mereka tidak diganggu oleh pegawai tanah, ramai petani bimbang mereka akan dihendaki membayar tunggakan bayaran sekali harung selepas mendapat kelulusan, sekiranya berlaku ia akan memberi kesan kepada situasi kewangan mereka.
Apabila ditanya oleh media tentang masalah tanah dihadapi petani Cameron Highlands, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata petani perlu bertenang.
“Tak ada sebab nak risau. Adakah kerajaan negeri pernah rampas mana-mana tanah mereka? Tak, kan? Mereka tak perlu risau. Ini tanah kerajaan negeri, sama ada pilihan raya atau tidak, kami akan masih benarkan mereka guna tanah itu,” katanya dilapor berkata.
Salah guna TOL
Seorang pegawai kanan kerajaan tempatan berkata sesetengah petani hanya “beritahu separuh cerita” kerana mereka didapati menyalah guna TOL.
Kata pegawai itu, misalnya, ada beberapa syarikat besar yang mempunyai ladang pelbagai jenis sayuran seluas 20 hingga 30 ekar sedangkan TOL mereka hanya untuk lima ekar.
Pegawai itu yang bercakap atas persetujuan kerahsiaan berkata: “Ini disebabkan korupsi, mereka yang dah lama tinggal di sini tahu siapa kalangan mereka yang sah, siapa yang haram.”
Seorang lagi pegawai tanah yang ditemui The Malaysian Insight juga menyalahkan sesetengah petani, mendakwa ada antara petani yang sengaja melanggar undang-undang, menyebabkan pegawai tanah terpaksa mengukur tanah setiap tahun bagi menghalang pelanggaran undang-undang berlaku.
“Kerana itulah pada 2014 Majlis Keselamatan Negara memulakan Ops Gading dan ramai syarikat swasta atau petani yang mengendalikan ladang haram ditangani.
“Kami tak mahu salahkan sesiapa tetapi bila kita kaji ladang Cameron Highlands, Pejabat Tanah sudah menetapkan batasan setiap ladang, tetapi petani sengaja meluaskan ladang mereka bila rasa tak cukup tanah.
“Malah ketika Ops Gading berjalan, petani yang luaskan ladang mereka secara haram pun marah (kepada Jabatan Tanah),” kata pegawai tersebut.
“Sebelum Ops Gading, ada lebih kurang 809 hektar ladang haram, sekarang kami menjangkakan sekurang-kurangnya terdapat 40 hektar ladang haram yang masih beroperasi.”
Setiausaha Persatuan Petani Sayur Cameron Highlands Chua Yi Man bagaimanapun berkata kerajaan dan petani sama-sama bersalah dalam hal ini.
Katanya, Ops Gading berlaku selepas banjir besar 2013, yang menyebabkan beberapa kematian. Kerajaan Persekutuan menyedari ketika itu yang penerokaan tanah Cameron Highlands berada pada tahap kritikal dan menyerahkan isu itu kepada Majlis Keselamatan Negara.
“Ada petani yang menceroboh kawasan tanah simpan, tetapi ada juga petani yang merugut kata Jabatan Perhutanan menceroboh tanah ladang mereka, jadi kedua-dua pihak bersalah.”
Ops Gading, Ops Lestari
Pada hujung 2018, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Ops Gading akan dinamakan semula menjadi Ops Lestari.
Pegawai tanah menjelaskan yang Ops Gading memberi tumpuan kepada penguatkuasaan sementara Ops Lestari tertumpu kepada penyeliaan dan pemantauan.
“Kami akan cuba cadangkan kepada petani yang sudah luaskan ladang mereka secara haram untuk memohon kelulusan kerajaan, tetapi syaratnya mereka perlu patuh kepada semya keperluan teknikal dan perlindungan alam sekitar,” katanya.
Untuk petani skala kecil, kerajaan mencadangkan mereka memohon TOL.
Apabila diminta mengulas perbezaan itu, Wan Rosdy berkata ia hanyalah beza nama; Ops Gading milik Barisan Nasional, Ops Lestari milik Pakatan Harapan.
“Saya tak tahu butiran operasi terbaru itu, sama ada mereka (PH) akan ubah apa-apa, saya tak tahu,” katanya. – 20 Januari, 2019.