Pakatan rayu pengundi luar pulang ke Cameron Sabtu ini
Iklan
PAKATAN Harapan (PH) mempertingkat lagi kempen dari pintu ke pintu dengan mesej kepada pengundi luar untuk pulang ke kampung halaman untuk mengundi.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PH Tanah Rata Chiong Yoke Kong berkata maklum balas diterima selepas melawat ratusan rumah agak positif dan dijangka sekurang-kurangnya 70% pengundi luar akan pulang ke Cameron Highlands, Sabtu ini.
Maklum balas mereka juga mendedahkan rakyat tidak gembira dengan wakil rakyat mereka daripada Barisan Nasional (BN).
“Kedua-dua ahli Parlimen dan Adun adalah pembangkang. Jadi rakyat rasa kecewa,” kata Chiong.
“Sekarang mereka dapat peluang kedua untuk lakukan perubahan dan mengundi sekali lagi.
“Apa yang kami buat ialah beritahu keluarga untuk meminta anak dan saudara mereka pulang ke kampung dan mengundi. Sekurang-kurangnya 70% daripada penduduk yang ditemui berkata mereka akan suruh anak balik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Terdapat 32,009 pengundi berdaftar di Cameron Highlands. Pecahan pengundi di kawasan itu ialah Melayu 33.5%; Cina 29.48%; India 14.91%; Orang Asli 21.56%; Bumiputera Sabah 0.12%; Bumiputera Sarawak 0.06%; Lain-lain 0.37%.
Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata PH perlu mencapai matlamat tertentu untuk mencapai kejayaan.
Beliau berkata antaranya ialah memastikan jumlah pengundi keluar mengundi tidak jatuh bawah 55%, terutama dalam kalangan penyokong utama PH dan mendapat menarik sekurang-kurangnya 70% sokongan India dan Cina.
Ong berkata PH juga perlu menambah sokongan Melayu dan Orang Asli daripada 10% kepada sekurang-kurangnya 30% dan menaikkan sokongan pengundi awal dan pengundi pos daripada 10% kepada 40%.
PRK itu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH M. Manogaran, Ramli Mohd Noor daripada BN dan dua calon bebas Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.
Chiong berkata pesanan dari pintu ke pintu diulang lagi pada pelbagai ceramah yang diadakan setiap hari.
“Namun, kita tidak mengharapkan mereka yang berada di luar negara akan pulang,” katanya.
Ketika ditanya adakah pengundi Cina akan mengambil cuti dan pulang 10 hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina untuk mengundi, Chiong berkata beliau optimistik kerana mereka akan mahukan perubahan.
“Kami fikir itu tidak jadi masalah kerana mereka sudah biasa melakukan perjalanan.
“Jika pengundi tinggal di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang, maka perjalanan pulang ke kampung bukan masalah.”
Pengundi dari Kampung Raja yang mahu dikenali dengan nama Yap berkata beliau sudah beritahu anak-anaknya untuk pulang.
“Dua anak saya bekerja di Kuala Lumpur dan mereka kata akan pulang untuk mengundi,” katanya.
Chiong berkata mereka juga sangat positif dengan jumlah pengundi yang akan keluar mengundi daripada kalangan masyarakat India.
“Kami sentiasa berhubung dengan masyarakat India di Kuala Terla dan Tanah Rata.
“Kebanyakan keluarga ditemui berkata mereka akan minta anak pulang. Tetapi tidak beritahu siapa yang akan diundi.”
Katanya, mereka menjangkakan 65% hingga 70% pengundi akan keluar mengundi pada Sabtu.
Pada PRU14, calon BN C. Sivarraajh menang dengan 10,307 undi mendapat majoriti tipis 597 berbanding Manogaran. PAS memperoleh 3,587 undi, Parti Sosialis Malaysia (680) dan Berjasa (81).
Mahkamah pilihan raya kemudian membatalkan keputusan untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas Sivarraajh didapati bersalah merasuah pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan naib presiden MIC itu tidak layak bertanding pada PRK ini. Beliau juga dilarang mendaftar sebagai pengundi atau calon pilihan raya untuk tempoh lima tahun, bermula 13 Disember tahun lalu. – 21 Januari, 2019.