Iklan

Undang-undang kewarganegaraan Malaysia seksis, kata pakar

Jason Santos6 years ago21st Jan 2019Berita
Shad saleem faruqi tmikamal 03
Profesor undang-undang tersohor, Shad Saleem Faruqi Profesor berkata undang-undang itu sudah tidak sepadan dengan semangat pindaan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dilakukan pada 2001 yang menghalang diskriminasi gender. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2019.
Iklan

UNDANG-UNDANG kewarganegaraan Malaysia dipenuhi dengan bias gender, memihak kepada lelaki berbanding wanita, situasi yang sudah tidak boleh diterima pada zaman ini, kata pakar undang-undang Perlembagaan negara.

Profesor Shad Saleem Faruqi berkata undang-undang itu sudah tidak sepadan dengan semangat pindaan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dilakukan pada 2001 yang menghalang diskriminasi gender.

“Bagi sesetengah kategori kewarganegaraan, waris warga lelaki diperlukan, sementara waris warga wanita tidak penting.

“Bagi saya ini tidak boleh diterima, secara biologi dan genetiknya. Saya tak nampak mengapa waris daripada wanita kurang penting berbanding lelaki, dan dalam terma keadilan dan kesaksamaan, saya tak faham,” katanya pada Persidangan Undang-Undang Borneo yang diadakan hujung minggu lepas.

Beliau memetik contoh warga lelaki dengan pasangan wanita asing yang layak memohon kewarganegaraan untuk pasangan mereka selepas dua tahun menetap di Malaysia.

Bagaimanapun, warga wanita dengan pasangan lelaki asing perlu menunggu selama 12 tahun sebelum layak memohon.

Tetapi, Shad menambah wujud juga kes di mana lelaki Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, permohonan mereka untuk kewarganegaraan pasangan ditolak, seperti menurut peruntukan Perkara 15 (1) (a).

Menurutnya, situasi ini adalah bukti “dasar mengatasi undang-undang, di mana Jabatan Pendaftaran Negara menafsirkan perkataan ‘menetap dalam persekutuan’ bermakna ‘penduduk tetap’.”

Shad berpandangan tafsiran JPN tidak berasas kerana maksud perkataan tafsiran mereka berbeza dengan makna dalam Perlembagaan.

“Tetapi ini sepenuhnya terletak dalam tangan JPN dan kerana itu, mereka ada kuasa untuk beri atau tolak PR kepada wanita asing. Terpulang sepenuhnya kepada JPN untuk terima atau tolak mereka.

“Saya fikir ini adalah salah tafsir undang-undang yang jelas sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Shad berkata terdapat ramai wanita asing yang sudah menetap di Malaysia selama 10 hingga 15 tahun tetapi masih menggunakan visa sehingga kini.

Katanya, wujud keperluan untuk meminda perlembagaan untuk menggambarkan realiti semasa dalam konteks kesaksamaan gender kewarganegaraan ini. – 21 Januari, 2019.

Iklan
Iklan