Iklan

Masih ada usaha bawa Bersatu masuk Sabah

Jason Santos6 years ago22nd Jan 2019Berita
Hajiji mohd noor lajim ukin jan 21 2019-2
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Lajim Ukin, bekas ketua perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor dan beberapa ahli politik ketika mengadakan pertemuan baru-baru ini. Sumber berkata mereka berbincang untuk bekerjasama. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Januari, 2019.
Iklan

USAHA membawa Bersatu ke Sabah masih diteruskan apabila penggeraknya agresif mendaftarkan ahli walaupun pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad berkata partinya tiada rancangan untuk bertapak di negeri itu.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Lajim Ukin mengaku bertanggungjawab terhadap kempen mencari ahli dan mengedar borang keahlian dengan meluas awal bulan ini.

“Tiada siapa berhak menghentikan atau menyekat Parti Pribumi Bersatu Malaysia daripada masuk ke Sabah melainkan mereka bimbang kerana Malaysia ini sebuah negara demokrasi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kempen keahlian itu langkah untuk menunjukkan kepada Dr Mahathir bahawa parti itu mempunyai dukungan kuat di akar umbi untuk bertapak di Sabah.

Beliau mengedarkan 64,000 borang keahlian di semua 24 bahagian di Sabah dan menyediakan beberapa ratus borang untuk ahli politik dari parti-parti lain yang berhasrat menyertai Bersatu.

Borang itu hanya akan diberikan kepada ahli politik dari Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku, bekas ahli Umno dan beberapa parti pembangkang lain, tetapi tidak Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Warisan Sabah, serta mereka dari Pakatan Harapan.

Lajim berahsia tentang masa depan partinya sendiri namun usaha membawa Bersatu ke Sabah dilihat oleh banyak pihak sebagai usaha beliau menyelamatkan karier politiknya.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Lajim Ukin mengakui beliau bertanggungjawab atas peningkatan jumlah ahli dan mengedar borang keahlian Bersatu di Sabah pada awal bulan ini. – Gambar Facebook, 21 Januari, 2019.

Lajim tercicir sejak Harapan meninggalkan gabungan lamanya Gabungan Sabah yang dibentuk sebelum pilihan raya umum ke-14, selepas menemui jalan buntu dengan Parti Solidariti Tanah Air pimpinan Jeffrey Kitingan.

Dalam satu mesyuarat selepas pilihan raya 9 Mei, Harapan diketepikan apabila Lajim tidak mendapat tempat dalam majlis tertinggi Gabungan Bersatu Sabah, pakatan baharu yang dicadangkan sebagai ganti Barisan Nasional (BN) selepas partinya gagal memenangi sebarang kerusi.

Bersatu sementara itu beberapa kali mengulangi bahawa ia tidak akan masuk ke Sabah kerana menghormati janjinya pada Warisan pimpinan Shafie Apdal, selain bimbang berulangnya episod penubuhan Umno di Sabah pada 1990-an.

Dalam pada itu, bekas ahli Umno yang diketuai Hajiji Mohd Noor yang meninggalkan parti pada 12 Disember lalu dijangka mengumumkan langkah politik mereka pada awal Februari atau Mac ini.

Hajiji mengetuai lima ahli Parlimen, sembilan wakil rakyat negeri dan 21 daripada 25 ketua bahagian Umno di Sabah keluar parti atas alasan hilang keyakinan kepada kepimpinan. Hajiji ketika itu adalah ketua badan perhubungan Umno negeri.

Kira-kira separuh daripada 500,000 ahli Umno di Sabah mengikut langkah politiknya dan mereka dikatakan jelas mahu menyertai Bersatu.

Beberapa sumber yang maklum akan langkah itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa Hajiji dan beberapa bekas pemimpin Umno sudah bermesyuarat membincangkan kerjasama.

“Buat masa ini, tidak jelas apakah mereka akan menyertai Harapan tetapi sekiranya Bersatu masuk Sabah, Hajiji akan jadi ketuanya dan Lajim akan dapat tempat dalam barisan kepimpinan,” kata sumber. – 22 Januari, 2019.

Iklan
Iklan