Sukar bawa pulang rakyat Malaysia di Syria, kata KPN
Iklan
USAHA untuk membawa pulang 52 rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan aktiviti keganasan kumpulan Islamic State (IS) di Syria masih belum berjaya, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
Selepas seorang wanita berasal dari Terengganu, Aisyah serta anak perempuan dan lelakinya yang berusia 5 dan 6 tahun pulang dari Syria pada 6 Oktober lalu, ahli keluarga rakyat Malaysia yang berada di negara bergolak itu turut meminta bantuan polis.
Bagaimanapun, Fuzi berkata respons yang diterima dari Syria ketika ini “tidak jelas”.
Menurutnya, polis Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa Turki memandangkan rakyat Malaysia sering menjadikan negara itu sebagai pintu masuk ke Syria.
“Pihak berkuasa Turki banyak membantu.”
Fuzi bagaimanapun berkata lokasi sebenar rakyat Malaysia di Syria tidak diketahui.
“Mereka yang nak balik ke Malaysia perlu hubungi keluarga di sini atau orang hubungan kami di sana.
“Kami akan bantu jika mereka serius mahu pulang,” kata Fuzi pada sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Menegnai sama ada polis akan meminta bantuan Aisyah, Fuzi berkata orang hubungan wanita itu tidak ramai kerana beliau tidak terlibat dengan pejuang IS, seperti suaminya yang terbunuh dalam pertempuran.
Fuzi juga berkata Aisyah berada dalam keadaan baik dan sedang menjalani pemulihan dengan pihak berkuasa. – 22 Januari, 2019.