Hampir 10% belia Selangor, Sabah sokong keganasan
Iklan
HAMPIR satu daripada 10 belia Malaysia berpontesi untuk menjadi radikal dan percaya keganasan atas nama agama ada wajar dilakukan, lapor kumpulan pemikir IMAN Research.
Data itu diperoleh hasil kajian IMAN Research terhadap pegangan kepercayaan terhadap keganasan ektremis.
Kajian itu yang melibatkan 1,139 belia berusia 18 hingga 35 tahun di Selangor dan Sabah, mendapati sokongan terhadap gejala ekstremis mempunyai kaitan dengan pendedahan ideologi agama terhadap responden.
“Sebanyak 8.8% belia menunjukkan sokongan terhadap keganasan ekstremis yang ada kaitan dengan ideologi agama.
“Responden di Selangor mencatatkan 8.5% manakala di Sabah, responden yang menyokong ideologi radikal adalah 9.7%,” kata IMAN dalam laporannya yang bertajuk “Normative Beliefs about Violent Extremism and Its Association with Demographic, Psychosocial and Health Characteristics: A Study of Young Adults in Selangor and Sabah”. (Pegangan Kepercayaan tentang Keganasan Ekstremis dan Kaitannya dengan Demografik, Psikososial dan Karakter Kesihatan: Kajian Remaja di Selangor dan Sabah).
IMAN berkata hasil kajian ini berhubung kait dengan kajian terdahulu oleh beberapa badan penyelidik termasuk tinjauan Pew Research pada 2015 yang mendapati pandangan terhadap militan Daesh dan pengebom bunuh diri boleh dikaitkan dengan kepercayaan ideologi.
Pengarah IMAN Dina Zaman berkata faktor yang menyumbang kepada ideologi itu disebabkan oleh pelbagai aspek dan boleh merangkui aspek sosial politik dan pendidikan.
“Apa yang mengejutkan kami adalah pegangan itu lebih (kuat) daripada agama atau identiti negara. Di Selangor (remaja) tidak mempunyai apa-apa… di Sabah adalah disebabkan kekurangan modal sosial, jadi mereka tidak merasakan sebagai sebahagian daripada Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu sesi temu bual.
“Selangor adalah negeri terkaya di Malaysia. Tetapi apabila anda bercakap dengan remaja di negeri itu, mereka tidak rasa terdaya untuk menentukan arah hidup.
“Sabah pula mempunyai rentas sempadan kumpulan militan. Di sana, banyak perkara ekstrem berlaku. Ianya menjadi kebiasaannya. Jadi apabila anda tinggal dalam suasana begini, keganasan dan ekstremis menjadi sebahagian hidup anda,” katanya.
Dina berkata beberapa isu kesihatan mental turut menjadi penyumbang kepada gejala tersebut.
“Memang benar ramai antara mereka merasa sangat bimbang terhadap banyak perkara termasuk kos sara hidup, keadaan hidup dan masa depan,” katanya.
Remaja Selangor dan Sabah dipilih kerana kedua-dua negeri itu menampilkan perbezaan ketara dalam aspek demografik dan cabaran sosiopolitik.
Kedua-dua negeri itu juga mempunyai sejarah aktiviti radikal dan militan.
Responden diberi contoh tentang situasi untuk mengukur tahap pemikiran mereka terhadap keganasan dalam konteks ideologi, agama, kaum dan kebudayaan. – 26 Januari, 2019.
Berita penuh di sini.