Belia bermasalah di Sabah lebih terdedah kepada ajaran ekstremis
Iklan
PARA belia Sabah yang berdepan masalah kemiskinan dan identiti lebih terdedah kepada radikalisasi oleh kumpulan pelampau, kata badan pemikir Iman Research.
Dalam kajian mengenai kepercayaan normal mengenai ekstremisme keganasan, Iman mendapati seorang daripada 10 belia Malaysia di Selangor dan Sabah percaya keganasan atas nama agama adalah wajar.
Tinjauan terhadap 1,139 belia berumur 18 hingga 35 tahun di kedua-dua negeri mendapati 8.8% daripada mereka menunjukkan sokongan terhadap ekstremisme ganas berhubung dengan ideologi agama.
Responden di Selangor mencatatkan 8.5% manakala di Sabah, responden adalah 9.7%, menurut kajian Iman.
Ketua penyelidikan, Vila Somiah berkata antara kalangan belia di Sabah, responden yang menyokong ekstremisme ganas cenderung menjadi golongan dewasa muda dengan tahap modal sosial yang rendah, yang akan menentukan sejauh mana seseorang itu mampu menyesuaikan diri dengan komunitinya dan sama ada mereka mempunyai akses kepada sumber asas.
“Mereka berasa tidak mampu mempengaruhi persekitaran mereka, sama ada mereka mempunyai kesan yang sihat terhadap politik tempatan, sama ada mereka mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan, sama ada mereka berasa boleh mempunyai kuasa ke atas orang-orang di sekeliling mereka,” katanya.
Vila berkata, kajian itu menegaskan radikalisasi bukanlah hanya mengenai ekstremisme agama dan boleh dicetuskan oleh kemiskinan atau kekurangan akses pekerjaan.
Kebanyakan belia di Sabah berdepan “ketidakpuasan politik, isu pendatang tanpa izin, dan ketidakadilan pendidikan”.
Ini memburukkan lagi keadaan, menjadikan mereka sebagai sasaran eksploitasi dan perekrutan.
“Beliau di Sabah berasa kurang diberi kuasa kerana mereka tidak mempunyai struktur sokongan seperti yang ada di Selangor.”
Walaupun kajian itu melibatkan belia yang merupakan rakyat Malaysia, kata Vila, ramai di antara mereka mengalami isu identiti.
“Kebanyakan belia ini datang dari keluarga yang tidak menentu dengan status mereka. Oleh itu anda bercakap mengenai belia yang mungkin mempunyai pakcik atau makcik, atau mungkin adik-beradik, yang dokumennya dianggap tidak diketahui atau dipersoalkan.”
Beliau berkata golongan belia tidak berpuas hati adalah sasaran mudah bagi radikalisasi oleh kumpulan etnosentris.
“Satu cara untuk menjadikan seseorang radikal di Sabah adalah melalui kumpulan rakan sebaya, iaitu kumpulan berdasarkan minat bersama.
“Banyak daripada mereka adalah kumpulan maritim. Mereka mendapat akses kepada kumpulan lain yang datang melalui sempadan laut yang mudah, serta pemimpin agama yang tidak dapat dikesan.”
Badan pemikir itu berkata militan merentas sempadan adalah masalah berterusan di Sabah disebabkan sejarah pendatang negeri sejak sekian lama, dengan rantau Asia Tenggara yang lebih luas, khususnya selatan Filipina, yang dikenali sebagai sarang bagi kumpulan militan seperti Abu Sayyaf.
Kegiatan militan di negeri ini berkembang menjadi masalah global, dengan ikrar Abu Sayyaf untuk menjadi sekutu utama Islamic State di rantau ini. – 26 Januari, 2019.