Pulau Pinang cadang data raya, kecerdasan buatan ukur kegembiraan penduduk
Iklan
PENGGUNAAN analitik data raya dan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) adalah antara cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan Pulau Pinang mengenai bagaimana mengukur tahap kebahagiaan atau tidak, bagi penduduknya, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Pada Ogos lepas, Chow berkata negeri itu bercadang melaksanakan indeks kebahagiaan selepas melancarkan Wawasan Pulau Pinang 2030.
Selepas pengumuman itu, kerajaan negeri menerima dua cadangan berkenaan pengendalian indeks berkenaan, katanya.
“Ada yang mencadangkan supaya menggunakan analitik data raya, teknologi kecerdasan buatan untuk menganalisis ekspresi orang ramai tentang perasaan mereka terhadap isu-isu masyarakat.
“Satu lagi cadangan ialah maklum balas mestilah dari semua orang, tetapi bagaimana hendak dapatkan semua orang supaya tahap kebahagiaan mereka boleh diukur?” kata Chow.
Beliau juga menyebut cabaran parameter yang digunakan untuk mengukur kebahagiaan, yang mana boleh menjadi perkara subjektif.
“Bagaimana hendak ukur kebahagiaan? Ia seolah-olah bertanya bagaimana anda mahu tentukan apa yang membuatkan sebuah keluarga sempurna? Ia mungkin mustahil.
“Tetapi saya percaya teknologi itu ada. Cuma bagaimana dan apa yang mahu diukur.” – 26 Januari, 2019.