Iklan

LANGSUNG: BN menang PRK Cameron Highlands

The Malaysian Insight6 years ago26th Jan 2019Berita
Ramli mohd nor-irwan
Calon BN, Ramli Mohd Nor kini ahli Parlimen baharu bagi kerusi Cameron Highlands. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 Januari, 2019.
Iklan

SEBANYAK 31,639 pengundi di Cameron Highlands layak memilih perwakilan baharu mereka di Parlimen dalam pilihan raya kecil yang dijalankan selepas mahkamah membatalkan keputusan PRU14 yang sebelum ini diduduki oleh C. Sivarraajh daripada Barisan Nasional (BN) berikutan wujud bukti aktiviti pembelian undi di kawasan tersebut.

Dalam pilihan raya hari ini, pengundi memilih antara M. Manogaran dari Pakatan Harapan (PH), Ramli Mohd Noor dari BN dan dua orang calon bebas, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.

The Malaysian Insight akan mengemas kini pembaca dengan laporan secara langsung mengenai pengiraan undi dan keputusan pilihan raya kecil tersebut.

8:32pm: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon BN, Ramli Mohd Nor menang bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands.

Pengumuman dibuat selepas kehadiran pegawai pilihan raya, Ishak Md Napis disambut dengan sorakan para penyokong BN yang berpakaian serba biru di dewan pusat kiraan undi di Tanah Rata.

Antara yang kelihatan ialah Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan.

Hanya Ramli dan calon Bebas, Wong Seng Yee yang hadir ketika pengumuman dibuat.

8.00pm: Keputusan rasmi daripada SPR di pusat kiraan undi kini menunjukkan BN masih mendahului dengan 11,617 undi berbanding PH dengan 7,084 undi

Kiraan masih diteruskan terhadap baki 9 kotak undi lagi.

7.26pm: Pengguna-pengguna Twitter mula merayakan kemenangan BN dengan membuat hantaran-hantaran meraikan kejayaan PRK Cameron Highlands yang diungguli BN di samping menempelak PH.

Bekas ahli parlimen Cameron Highlands C. Sivarraajh yang dibuktikan memberi rasuah ketika PRU 14 lalu menjadi sebab PRk kali ini diadakan dalam akaun Twitter beliau menyatakan kemenangan BN di pusat-pusat mengundi di kawasan Orang Asli adalah “bukti bahawa tidak ada elemen rasuah seperti yang dinyatakan di mahkamah pilihan raya.

“Sokongan masy Asli di #PRKCameronHighlands membuktikan bahawa tidak ada unsur beli undi seperti yg dikatakan oleh mahkamah. Mereka merupakan penyokong tegar BN. Semua saksi yg dibawa oleh Mano adalah org/penyokong PH . God is great wpun saya dianiaya.” ulas beliau melalui akaun Twitter.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin turut mengatakan dalam akaun Twitter beliau bahawa ramai Orang Asli dan Melayu mengundi BN, di samping undi awal daripada pasukan polis.

“Anggota polis masih mengundi BN walaupun PH menjadi kerajaan hari ini,” kata beliau.

Bekas pemimpin Gerakan Ivanpal S. Grewal berkata  PH patut risau dengan keputusan tersebut.

“Lim Kit Siang yang memanggil Orang Asli sebagai warga pseudo jelas tak membantu apa-apa,” kata Ivanpal menerusi Twitter yang merujuk dakwan  veteran DAP yang mengatakan BN tidak banyak membantu kehidupan Orang Asli.

Peguam dan aktivis Eric Paulsen turut memberikan amaran. “Ini adalah seruan untuk sedar semula bagi PH. Rakyat sedang saksikan dan mereka tidak suka apa yang mereka lihat. Mereka beri anda kuasa dan mereka juga boleh buat anda hilang kuasa.”

6.56pm: Keputusan tidak rasmi daripada SPR di puisat kiraan undi Tanah Rata menunjukkan Ramli mendahului  dengan 11, 381 undi sementara Manogaran dengan 7,182 undi. BN mamperoleh majoriti sebanyak 4,199 undi.

Manakala calon bebas Sallehudin memperoleh 295 undi dan Wong Seng Yee mendapat 226 undi.

6.41pm: BN kini memperoleh 10,579 undi berbanding PH yang mendapat 5,027 undi, berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada SPR di pusat kiraan undi di Tanah Rata.

Dua calon bebas, Wong dan Sallehudin mendapat masing-masing 141 dan 252 undi.

Keputusan-keputusan tidak rasmi SPR, dipaparkan secara berasingan, menunjukkan kiraan undi yang lebih rendah namun BN masih mendahului selepas 23 daripada 89 kotak undi dikira dan disahkan.

6.05pm: SPR umum peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini sebanyak 68.6% pada 5.30 petang tadi sewaktu semua pusat mengundi ditutup.

Walaupun ia lebih melebihi 55%, yang dikatakan sebagai jumlah yang membolehkan peluang cerah kemenangan PH di Cameron Highlands, namun undi menunjukkan BN masih mendahului pakatan pemerintah di kawasan itu.

BN kini mendahului dengan 6,001 undi menurut kiraan tidak rasmi SPR di pusat kiraan undi di SMK Ahmad Shah di Tanah Rata.

6.00pm: Kiraan undi tidak rasmi oleh SPR menunjukkan BN mendahului dengan 9,463 undi dan PH dengan 3,592 undi menjadikan BN memiliki majoriti 5,871 undi.

Di antara dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib berjaya mendapat undi sebanyak 202 undi sementara petani Wong Seng Yee hanya memperoleh 90 undi.

Undi-undi dari peti undi dibawa ke SMK Ahmad Shah di Tanah Rata dari pusat-pusat mengundi di seluruh kawasan Cameron Highlands dan dikira di sana.

SPR memaparkan kiraan undi di dua skrin, skrin pertama memaparkan kiraaan tidak rasmi ketika undi-undi masuk ke pusat kiraan, dan skrin kedua memaparkan keputusan akhir tanpa perubahan seterusnya.

5.50pm: Keputusan tidak rasmi daripada sumber-sumber BN mengatakan ia mendahului kedudukan di 11 pusat mengundi dengan 5,081 undi, sementara PH mendapat 2,229 undi.

BN tampil dengan peningkatan majoritinya di DUN Jelai dengan penambahan 2,000 undi berbanding majoriti yang diperolehinya ketika PRU14 lalu.

Ketika PRU14, BN menang di DUN Jelai dengan majoriti 3,507 undi. Berdasarkan sumber keputusan tidak rasmi menunjukkan BN kini mendapat majoriti 5,207 undi dalam PRK kali ini.

5.30pm: BN mendahului undi pos bagi kawasan Tanah Rata dan Jelai, dua kawasan Dewan Undangan Negeri Pahang dalam kawasan Parlimen Cameron Highlands.

Menurut sumber-sumber BN, keputusan tidak rasmi menunjukkan BN mendapat 71 undi poas di Tanah Rata sementara PH mendapat 24 undi. Di Jelai, BN mendapat 9 undi berbanding PH yang mendapat 3 undi.

Sementara itu, PH mendahului kiraan undi di Kg Raja, yang mempunyai pengundi majoriti daripada kaum Cina, yang juga menyaksikan hal yang sama di Brinchang.

5.11pm: Keputusan tidak rasmi daripada sumber-sumber mengatakan BN menang di 7 pusat mengundi yang ditutup sebelum 5 petang tadi berikutan terletak di lokasi pedalaman.

BN menang 2,897 undi sementara PH menerima 505 undi.

Pusat-pusat mengundi tersebut adalah Lemoi, Sg Koyan, Kuala Medang, Pos Lenjang, Titom, Terisu dan Bukit Kota.

Jumlah pusat mengundi adalah 29 secara keseluruhan kawasan parlimen tersebut. – 26 Januari, 2019.

Iklan
Iklan