Iklan

Calon tempatan, Najib dan PAS faktor BN menang, kata Asyraf

Looi Sue-Chern6 years ago26th Jan 2019Berita
Asyraf wajdi dusuki
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan faktor kerjasama Umno dan PAS menjadi elemen utama kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2019.
Iklan

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dasuki mengzahirkan penghargaannya terhadap Ramli Mohd Nor yang berasal daripada kalangan Orang Asli, bekas presiden Umno Najib Razak dan PAS kerana menjadi faktor kemenangan Barisan Nasional (BN) di Cameron Highlands malam ini.

Beliau berkata warisan Semai yang ada pada Ramli di samping turut merupakan orang tempatan menjadikan beliau sebagai calon kegemaran bagi memenangi kerusi parlimen.

Ramli, seorang polis bersara, memenangi 12,038 undi, menewaskan M.Manogaran daripada PH, yang hanya mendapat 8,800 undi. Sementara calon bebas Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib hanya berajay memperoleh 276 dan 314 undi.

“Sentimen Orang Asli ada pada BN. Mereka masih menyukai BN dan merasa terhutang budi kepada kepimpinan terdahulu.

“Kita dapat melihat ini apabila masyarakat itu datang untuk bertemu dengan Najib ketika beliau melawat kawasan mereka untuk berkempen,” katanya dalam satu kenyataan.

Asyraf berkata populariti bekas perdana menteri dan ahli parlimen Pekan itu di kalangan masyarakat Orang Asli dan Felda turut menyumbang kepada kemenangan BN.

“Mereka ingat apa yang beliau lakukan untuk mereka,” katanya.

Asyraf juga berkata bahawa “sokongan dan kerja keras pimpinan dan jentera PAS” juga turut menjadi faktor kemenangan kepada BN.

Beliau berkata PAS berjaya menghalakan sokongan lebih daripada 2,000 penyokong tegarnya, terutamanya di Daerah Pengundian Kg Keledek, Bukit Kota dan Sg Koyan 3 kepada BN.

BN tidak pernah menang di Kg Keledek.

“Orang ramai, iaitu orang Melayu dan Bumiputera, mahu melihat kerjasama yang kuat antara Umno dan PAS, sebagai tanda perpaduan ummah dan kestabilan di negara ini.”

Asyraf juga turut memuji jentera BN, termasuk sayap-sayap utama BN, kerana tidak menghiraukan penat dan lelah dalam kerja-kerja pilihan raya di semua daerah pengundian di Cameron Highlands dalam tempoh dua minggu lalu.

“Buat pertama kalinya, sayap Wanita Umno dan Muslimat PAS bergabung untuk bertemu dengan pengundi dari rumah ke rumah, terutama di Jelai.

“Pemuda Umno juga berkhemah di sebelah sungai di kampung Orang Asli untuk memastikan program mereka berjalan lancar,” katanya lagi. – 26 Januari, 2019.

Iklan
Iklan