Iklan

Polis hantar kes terhumban Jambatan Pulau Pinang kepada pendakwa esok

Looi Sue-Chern6 years ago27th Jan 2019Berita
Iklan

POLIS sedang menyelesaikan siasatan terhadap kemalangan maut yang menyebabkan kereta jenis Mazda CX5 terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata kes itu akan dirujuk kepada pihak pendakwaan esok.

“Siasatan akan dilengkapkan. Kami akan rujuk kepada DPP (timbalan pendakwa raya) pada Isnin untuk semakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan kerana menyebabkan kematian disebabkan pemanduan cuai atau berbahaya.

Awal pagi Ahad lepas, sebuah Toyota Vios melanggar Mazda tersebut sehingga menyebabkan ia hilang kawalan dan terhumban dari jambatan.

Pemandu Mazda, Moey Yun Peng, 20, lemas dalam kenderaan tersebut yang tenggelam selama tiga hari dalam laut sebelum berjaya dikeluarkan pada petang Selasa.

Pemandu Vios pula ditahan pada Rabu untuk soal siasat sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis hari yang sama.

Kedua-dua mereka adalah rakan sekolah dan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sambutan majlis hari lahir rakan mereka di George Town.

Moey tinggal di Butterworth sementara pemandu Vios tersebut tinggal di kawasan Prai. – 27 Januari, 2019.

Iklan
Iklan