Iklan

Najib ketua pembangkang sebenar, kata Guan Eng

Looi Sue-Chern6 years ago27th Jan 2019Berita
Najib razak ch tmikamal 04
Populariti Najib Razak pada kempen PRK Cameron Highlands mengatasi pemimpin BN lain termasuk Mohamad Hasan dan Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2019.
Iklan

LIM Guan Eng mengucapkan tahniah kepada Najib Razak kerana berjaya mengetuai kempen Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands bersama-sama PAS, bekas musuh yang kini sekutu rapatnya.

“Ia menunjukkan Najib adalah ketua pembangkang sebenar, dan PAS berjaya menarik sokongan daripada MCA dan MIC,” kata setiausaha agung DAP pada satu sidang media di Seberang Jaya hari ini.

Lim berkata pemimpin MCA dan MIC juga perlu ditanya sama ada mereka menyokong kerjasama dengan parti Islam itu, yang agenda Hududnya ditentang keras kedua-dua parti tersebut dahulu.

MCA dan MIC kini lemah dalam gabungan BN, hanya mempunyai satu kerusi Parlimen berbanding Umno yang ada 38.

PAS pula mempunyai 18 wakil di Dewan Rakyat.

Najib, bekas presiden Umno dan pengerusi BN, jadi tumpuan ramai dalam kempen BN di Cameron Highlands, mengatasi popularity Mohamad Hasan dan Ahmad Zahid Hamidi.

Mohamad adalah pemangku presiden Umno dan pengerusi BN, selepas Zahid bulan lepas mengumumkan berehat sementara menunggu kes jenayahnya dibicarakan.

Malam tadi, calon BN Ramli Mohd Nor diisytiharkan ahli Parlimen Cameron Highlands yang baharu dengan undi 12,038. Beliau menewaskan M Manogaran (PH) yang menerima 8,800 undi, sementara calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314) dan Wong Seng Yee (276).

Majoriti dimenangi Ramli sebanyak 3,238 adalah jauh lebih banyak berbanding majoriti 597 dimenangi C Sivarraajh pada PRU14 lalu.

Barisan Nasional diterajui Umno menang bergaya di Cameron Highlands, memberi petunjuk parti yang pemimpinnya sedang berdepan pertuduhan jenayah itu masih boleh tarik sokongan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2019.

Pada kempen BN di Cameron Highlands, PAS dan jenteranya turun sama membantu, malah Presiden Abdul Hadi Awang turut turun padang bagi mendapatkan sokongan Melayu Islam kepada BN.

Najib, hari ini, di Facebook berkata sokongan PAS kepada BN di Cameron Highlands boleh memperkukuh kerjasama antara kedua-dua parti itu “demi masa depan Malaysia”.

Walaupun tewas di Cameron Highlands, Lim yang juga timbalan presiden Pakatan Harapan berkata gabungan parti memerintah memperbaiki jumlah undi popular diterimanya.

“Kami menyaksikan peningkatan undi popular, daripada 38% kepada 41%. Ini berlaku walaupun jumlah turun mengundi rendah di tempat kubu kuat kita, seperti Tanah Rata.

“Ramai pengundi luar tidak pulang mengundi kerana mereka sudah merancang untuk balik pada Tahun Baharu Cina.”

Perayaan itu akan disambut kurang seminggu lagi.

Lim menambah yang sokongan pengundi Melayu juga makin meningkat walaupun ia tidak besar.

“Ada petanda yang kita boleh dapat lebih banyak sokongan di masa depan jika kita bekerja lebih keras. Inilah sebabnya kita perlu mengakui kelemahan kita untuk bertambah baik.

“Saya tahu penyokong kita kecewa, tetapi kita jangan ambil hati dan belajar (kesilapan) daripada kempen.”

Lim juga membangkitkan isu kejayaan lebih bermakna jika kemenangan dalam PRK dengan merampas kerusi milik lawan.

“Ini (Cameron) adalah kerusi BN. BN ambil balik. Tengok PRK sebelum ini, PH juga ambil balik kerusi kita sendiri,” katanya merujuk kepada Balakong, Sungai Kandis, Seri Setia dan Port Dickson.

“Ia hanya dikira (bermakna) jika anda menang di kawasan lawan. Kita akan tengok apa kitab oleh capai di Semenyih dan Rantau.”

PRK Semenyih akan diadakan Mac ini selepas kematian Adun Bakhtiar Mohd Nor (PH) kerana serangan jantung awal bulan ini.

Manakala, kerusi Rantau diarahkan kosong selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan PRU14 yang dimenangi Mohamad.

Mohamad sedang merayu keputusan itu. – 27 Januari, 2019.

Iklan
Iklan