Iklan

Pendaftaran pakatan pembangkang Sabah tertangguh kerana bekas Umno

Jason Santos6 years ago27th Jan 2019Berita
Iklan

USAHA pendaftaran Gabungan Bersatu Sabah (GBS) menemui jalan buntu disebabkan status bekas Umno Sabah yang tidak diketahui sehingga sekarang, kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Maximus Ongkili, hari ini.

Katanya, GBS hanya boleh didaftarkan di bawah Pendaftar Persatuan selepas masalah menyelubunyi bekas pemimpin Umno Sabah selesai.

“Kami akan memperlambatkan perkara berkenaan tetapi isu kerjasama politik akan diteruskan,” katanya di Kota Kinabalu hari ini.

GBS dibentuk tidak lama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 untuk menggantikan Barisan Nasional di Sabah dan disertai PBS, Parti Solidariti Tanah Airku diketuai Jeffrey Kitingan dan Umno Sabah.

Status GBS jadi tanda tanya apabila sembilan Adun dan lima ahli Parlimen negeri itu meninggalkan Umno Sabah pada 12 DIsember tahun lepas, walaupun mereka mahu terus bekerjasama dengan parti lain dalam GBS.

Gabungan itu dibentuk pada 24 Oktober tahun lepas, dengan bekas presiden dan pengasas PBS Joseph Pairin Kitingan bertindak sebagai pengerusi penganjur.

Kumpulan itu turut disertai beberapa wakil yang merupakan bekas ahli United Pasok Momogun KadazanDusun Murut Organisation (Upko), Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Umno Sabah. – 27 Januari, 2019.

Iklan
Iklan