William Leong tak akan tarik balik peletakan jawatan Biro Politik PKR
Iklan
AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR William Leong tidak akan menarik balik peletakan jawatanya dalam Biro Politik parti itu walaupun Pakatan Harapan (PH) sudah memutuskan menolak sebarang kerjasama dengan PAS.
Leong yang juga ahli Parlimen Selayang meletakkan jawatan dalam Biro Politik PKR minggu lepas kerana tidak berpuas hati dengan kerjasama parti itu bersama PAS.
“Keputusan saya tidak akan ditarik balik,” kata Leong kepada The Malaysian Insight.
Leong mengambil maklum berhubung keputusan PH pada Selasa untuk menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan bersedia untuk pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Biro Politik PKR juga sudah bincang perkara ini dan keluarkan suatu kenyataan.
“Semua ahli dan pemimpin akan tunggu hala tuju parti selepas kenyataan yang diumum,” katanya.
Walaupun meletakkan jawatan sebagai anggota Biro Politik PKR, Leong masih lagi kekal sebagai ahli MPT.
Selepas Leong meletakkan jawatan, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dalam satu kenyataan kepada media mendesak parti itu mengadakan kongres khas berhubung kerjasama dengan PAS.
Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menolak keperluan mengadakan kongres itu.
Ini mendorong sekumpulan pemimpin akar umbi mengadakan sidang media menyokong tuntutan Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan.
Semalam mesyuarat Biro Politik PKR membuat keputusan untuk memperkukuhkan PH dan mengatur strategi untuk mengalahkan BN pada PRU14.
Bagaimanapun, isu kerjasama dengan PAS tidak dinyatakan dalam kenyataan satu perenggan itu. – 30 Ogos, 2017.