Iklan

Bekas pemimpin Umno Sabah tunggu Bersatu mulakan langkah, kata sumber 

Jason Santos6 years ago28th Jan 2019Berita
Ppbm alorgajah malacca nazir 403
Bersatu tetapkan Lajim Ukin untuk merekrut 100,000 ahli baharu parti itu di Sabah untuk menubuhkan cawangan di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2019
Iklan

PEMIMPIN Umno Sabah yang keluar parti sebelum ini menunggu sekiranya Bersatu dan Warisan akan mencapai persefahaman bagi membolehkan mereka menyertai parti dari semenanjung itu, menurut sumber.

Mereka mengatakan apa yang menjadi penghalang kepada mereka untuk menyertai parti Dr Mahathir Mohamad adalah perjanjian sebelum pilihan raya antara kedua-dua parti berhubung kedudukan masing-masing.

“Perjanjian sebelum pilihan raya ialah Warisan akan kekal di Sabah dan Bersatu di Semenanjung Malaysia, dan bukan melebarkan sayap di Sabah,” kata sumber berkenaan.

“Bagaimanapun situasi ini menimbulkan masalah kepada pemimpin Umno Sabah yang bertindak keluar parti pada 12 Disember kerana mereka cenderung untuk menyertai Bersatu,” tambahnya.

Buat masa ini, pemimpin Umno terbabit dilihat hanya menunggu sesuatu berlaku walaupun Dr Mahathir sebelum ini berkata partinya tidak akan melanggar janji kepada Warisan.

“Pemimpin terbabit kini berharap pemimpin Parti Harapan Rakyat Sabah Lajim Ukin boleh membuatkan Dr Mahathir dan Bersatu masuk ke Sabah.

“Lajim telah mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dan beliau meyakinkan pengerusi Bersatu untuk mempertimbangkan perkara itu,” katanya.

“Tugas yang diberi adalah merekrut 100,000 ahli baharu dari Sabah, termasuk bekas ahli Umno Sabah,” tambahnya.

Pada 31 Disember, Lajim mendakwa 64,000 borang akan diagihkan di 24 bahagian Sabah, dan menyimpannya untuk ahli politik yang berfikirkan sama yang mahu Bersatu di Sabah.

“Borang Bersatu itu dicetak khas bagi menunjukkan ia adalah untuk Sabah,” kata sumber yang menambah, bagaimanapun ia hanya ada bermula Februari.

Rancangan itu sekarang ialah Lajim mempunyai kira-kira sebulan untuk menyelesaikan pengambilan ahli bagi membolehkan Bersatu dibuka di Sabah paling awal pada Mac.

“Ini sebabnya bekas pemimpin Umno Sabah tidak mengambil sebarang langkah mengejut atau menyatakan rancangan mereka secara umum.

“Mereka agak yakin Dr Mahathir akan berubah fikiran mengenai Sabah,” jelas sumber berkenaan.

Pengkritik menyatakan tindakan Lajim adalah langkah untuk menyelamatkan karier politiknya selepas partinya tidak memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu dan beliau meninggalkan gabungan lamanya, Parti Bersatu Sabah.

Bekas pemimpin Umno terbabit sebelum ini pernah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Warisan, Mohd Shafie Apdal untuk menyertai parti itu.– Gambar fail The Malaysian Insight,  28 Januari, 2019

Menurut sumber, sekiranya Lajim berjaya dalam rancangan ini, beliau akan dilantik sebagai naib pengerusi sementara Bersatu Sabah dan akan diberikan jawatan senator kerana kejayaannya melebarkan Bersatu di negeri itu.

“Ini bertepatan dengan berakhirnya penggal beberapa senator yang dilantik oleh Barisan Nasional.

“Salah satu kekosongan itu akan ditawarkan kepada Lajim,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, bekas pemimpin Umno Sabah tidak akan diberikan sebarang jawatan dalam parti serta merta.

“Buat masa ini, bekas pemimpin Umno Sabah hanya akan menjadi ahli biasa tanpa sebarang jawatan khas.

“Masih ada masa untuk bekas pemimpin Umno Sabah untuk mengetuai parti sebelum PRU15 diadakan,” katanya.

Bekas pemimpin Umno Sabah itu sanggup menunggu rancangan itu direalisasikan dan ini sebabnya langkah mereka untuk rapat dengan Warisan tidak berlaku.

“Hampir semua mereka berunding dengan pemimpin Warisan Shafie Apdal untuk menyertai partinya.

“Namun Shafie tidak menawarkan sebarang jawatan kementerian atau jawatan dalam kerajaannya kepada pendatang baharu dan itu sebabnya mereka menunggu Bersatu,” kata sumber dari dalam kalangan bekas pemimpin Umno terbabit.

Antara mereka yang menghubungi Mohd Shafie adalah Hajiji Mohd Nor, dan juga bekas setiausahanya Masidi Manjun.

“Namun rundingan itu terhenti apabila timbul idea untuk menyertai Bersatu,” katanya.

Masa depan Adun Umno menjadi tumpuan selepas Adun Tampasuk, Musbah Jamli menyertai Warisan awal minggu ini, mencetuskan ura-ura bahawa ramai akan mengikut jejak langkahnya.

Ketika menerima Musbah menyertai Warisan, Shafie menyatakan beliau mengadakan rundingan beberapa kali dengan Musbah sebelum bekas ahli Umno itu memutuskan untuk menyertani parti yang menerajui kerajaan negeri Sabah itu.

Shafie juga berkata, beliau mengadakan ertemuan dengan beberapa ahli Umno untuk menyertai Warisan namun mereka minta diberikan tempoh untuk membuat keputusan.

Lima ahli Parlimen, sembilan Adun dan dua orang senator keluar daripada Umno Sabah untuk menjadi wakil rakyat bebas pada 12 Disember lalu. – 28 Januari, 2019

Iklan
Iklan