Bukit Bendera dapat wifi percuma
Iklan
PENGUNJUNG Bukit Bendera akan boleh terus melayari internet di kawasan puncak selepas Telekom Malaysia (TM) selesai menyiapkan perkhidmatan wifi percuma di kawasan itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkhidmatan wifi percuma tersebut adalah inisiatif Penang Hill Corporation (PHC) dan TM, yang akan menyiapkan kabel gentian optik dan alat penghantar gelombang internet, di samping akan menyelia perkhidmatan itu secara harian dan akan membayarnya.
Chow, yang juga pengerusi PHC, berkata syarikat itu gembira dengan kerjasama yang akan meningkatkan sambungan internet di kawasan tarikan utama bukit itu, yang popular di kalangan pelancong.
Beliau berkata ini sejajar dengan matlamat kerajaan negeri untuk meningkatkan sambungan internet dan menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pintar, seperti yang dibayangkan dalam wawasan Pulau Pinang 2030.
Kawasan dengan perkhidmatan wifi percuma adalah di stesen rendah dan tinggi bukit itu.
“Pengunjung yang menunggu gilirannya untuk menaiki pengangkutan funikular akan dapat menggunakan wifi percuma untuk memuat naik foto pemandangan Pulau Pinang ke media sosial.
“Ini juga membantu mempromosikan kepelbagaian yang menjadi ciri bukit tersebut, seni bina warisan dan permata tersembunyi yang lain,” kata Chow dalam sidang media di Komtar hari ini.
Pengurus Besar TM Pulau Pinang Kelvin Lee berkata pelawat akan dapat menikmati kelajuan sehingga 100 mbps.
Wifi percuma boleh diakses menerusi aplikasi “i-foundit!” yang boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store.