Putrajaya harap diskaun pada ekspo Mac depan bantu jualan rumah
Iklan
PERJANJIAN penjualan dan pembelian bebas (S&P) dan diskaun 10% yang akan ditawarkan di ekspo perumahan pada bulan Mac nanti diharapkan dapat membantu penjualan unit-unit rumah yang tidak terjual.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata 180 pemaju perumahan akan mengambil bahagian dengan menawarkan 22,000 unit rumah dengan jumlah nilai aset sekitar RM22.5 bilion untuk dijual.
“(Kami) berharap harga jualan memiliki diskaun sekurang-kurangnya sebanyak 10%. S&P akan dibebaskan pada hari itu,” katanya pada pelancaran Dasar Perumahan Negara 2018-2025 di Bukit Kiara hari ini.
“Kami telah bersetuju dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) serta pemaju-pemaju, untuk menyenaraikan unit yang belum dijual dan unit yang tergantung penjualannya, dengan diskaun yang bagus untuk menjadikannya mampu untuk dibeli orang ramai.
“Kira-kira satu perempat daripada jumlah rumah yang akan dijual di ekspo itu merupakan kos rendah yang bernilai kurang daripada RM300,000,” katanya.
Ekspo itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Akhir tahun lalu, dilaporkan bahawa terdapat 30,115 unit kediaman tidak terjual yang bernilai RM19.54 bilion, setakat 30 September, menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 48% dalam unit tidak terjual berbanding tahun sebelumnya.
Hartanah tidak terjual telah melanda industri hartanah Malaysia selama bertahun-tahun dan kawasan yang paling serius terkesan adalah Johor, Selangor dan Pulau Pinang.
Sebuah unit yang tergantung didefinisikan sebagai unit siap yang tidak terjual dalam tempoh sembilan bulan selepas dilancarkan dan setelah menerima pengesahan untuk ditempati. – 28 Januari, 2019.