Iklan

Pemaju gesa kerajaan kecualikan duti setem untuk semua pembeli rumah

Looi Sue-Chern6 years ago29th Jan 2019Berita
Rehda penang chief toh chin leong 290119  full
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang Toh Chin Leong berkata pemaju merayu supaya dasar itu diluaskan kepada semua pembeli. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Januari, 2019.
Iklan

PERSATUAN hartanah dan pemaju menggesa Putrajaya melanjutkan pengecualian duti setem untuk semua pembeli rumah.

Dasar semasa yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bulan lalu hanya terpakai untuk pembeli rumah kali pertama dan rumah berharga antara RM300,001 dan RM1 juta untuk enam bulan bermula 1 Januari.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Pulau Pinang Toh Chin Leong berkata pemaju merayu supaya dasar itu diluaskan kepada semua pembeli.

Dasar semasa juga termasuk rumah berharga RM800,000.

“Berapa ramai pembeli rumah kali pertama yang mampu membeli rumah pada harga itu? Ia akan lebih bermanfaat untuk meluaskan pengecualian duti setem kepada semua pembeli.

“Ia akan dapat membantu pemaju menjual stok lama mereka,” katanya pada sidang media di pejabat Rehda Pulau Pinang hari ini.

Bekas pengerusi Rehda Pulau Pinang Jerry Chan berkata nilai RM1 juta hingga RM2 juta juga boleh dinaikkan untuk menampung lebih banyak jenis rumah.

Rehda Pulau Pinang sudah pun membuat rayuan kepada kerajaan persekutuan.

Chan berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dijangka mengumumkannya pada Khamis sama ada ia menerima atau tidak permohonan Rehda.

Di peringkat negeri, kumpulan itu memohon lanjutan untuk pelepasan levi 3% untuk pembeli rumah warga asing. Kerajaan negeri membenarkan pelepasan levi untuk sebulan bermula 1 Februari.

Toh berkata ruang masa itu terlalu singkat bagi membolehkan warga asing yang hendak membeli rumah menikmati pelepasan itu.

Rehda Pulau Pinang memohon pelepasan itu dilanjutkan hingga Jun.

Terdahulu, Rehda Pulau Pinang mengumumkan Ekspo Hartanah Malaysia 2019 dari 7 hingga 10 Februari, dari 10 pagi hingga 9 malam di Udini Square. – 29 Januari, 2019.

Iklan
Iklan