Iklan

Banyak rumah tak terjual adalah mampu milik, kata persatuan pemaju

Looi Sue-Chern6 years ago29th Jan 2019Berita
Kuala lumpur house development 100918 tmiseth 10
Wujud permintaan nyata kepada rumah mampu milik, tetapi ramai pembeli tak mampu mendapat pinjaman perumahan daripada bank. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2019.
Iklan

HARTANAH tak terjual di Pulau Pinang kebanyakannya adalah rumah mampu milik, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang.

Rumah mampu milik di Pulau Pinang berharga dalam julat antara RM150,000 hingga RM300,000.

Harga rumah mampu milik itu dikawal oleh kerajaan negeri, dan bakal pembeli yang berminat perlu mendaftar dengan Jabatan Perumahan Negeri. Tindakan itu dibuat untuk menghalang spekulasi yang boleh menaikkan harga rumah di Pulau Pinang.

Bekas pengerusi Rehda Pulau Pinang Jerry Chan berkata sektor perumahan mampu milik dilihat lebih banyak bermasalah berbanding sektor perumahan lain.

Katanya, masalah lambakan rumah tak terjual yang berlaku kini adalah lebih buruk berbanding dahulu, malah masalah itu lebih teruk di Johor dan Kuala Lumpur.

“Pada 1999 (selepas Krisis Kewangan Asia), kita tak nampak banyak sangat bangunan tak terjual seperti sekarang. Kita ada lambakan di Pulau Pinang tetapi tak seburuk di Johor atau KL.

“Ada permintaan nyata (untuk rumah mampu milik) di sini, tetapi orang dapati susah nak beli kerana mereka sukar dapat pinjaman bank.

“Pada 1999, lebih mudah dapat pinjaman rumah. Sekarang lebih mudah untuk dapat pinjaman kereta, peribadi dan kad kredit,” katanya pada satu sidang media di pejabat Redha Pulau Pinang di Pulau Tikus hari ini.

Chan berkata kerajaan perlu mengkaji keseriusan masalah ini yang menyebabkan rakyat yang mahu membeli rumah mampu milik tidak dapat berbuat demikian kerana sukar dapat pinjaman.

Pengerusi Redha Pulau Pinang Toh Chin Leong berkata pemaju tidak menafikan ada lambakan hartanah di Pulau Pinang dan sedang menggerakan beberapa kempen pemilikan rumah.

Kempen tahap kebangsaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Mac ini, yang akan menyaksikan kerajaan persekutuan bekerjasama dengan pemaju dan peminjam untuk memasarkan hampir 30,115 rumah di seluruh negara dengan potongan harga tertentu.

Redha Pulau Pinang juga akan menganjurkan Ekspo Hartanah Malaysia 2019 minggu depan di Udini Square untuk mempromosi hartanah dengan potongan diskaun sekurang-kurangnya 10%. – 29 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan