Peguam negara perkukuh barisan pendakwa bicara kes Najib
Iklan
CAKAP-CAKAP berlegar di kalangan pengamal undang-undang yang Pejabat Peguam Negara bakal menambah seorang lagi litigator kanan daripada sektor swasta bagi pasukannya untuk berdepan perbicaraan rasuah pertama Najib Razak.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, sebagai tambahan kepada Sulaiman Abdullah, seorang lagi peguam kanan dijangka menyertai pasukan itu bagi mendakwa bekas perdana menteri kerana didakwa mencuri RM89 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Langkah Pejabat Peguam Negara untuk mengukukkan pasukannya tidak mengejutkan ahli undang-undang memandangkan harapan yang tinggi terhadap sabitan bagi perbicaraan itu.
Tiada satu hari berlalu sejak Pilihan Raya Umum ke-14 tanpa pendedahan penuh mengenai sejauh mana skandal 1MDB dibongkar untuk rakyat Malaysia.
Pendedahan ini meningkatkan tuntutan agar Najib dan mereka yang berkonspirasi dengannya dipenjarakan.
Perbicaraan SRC, yang bermula pada 12 Februari, akan menjadi satu daripada banyak perbicaraan yang akan dihadapi Najib berhubung dakwaannya dalam skandal itu.
Bekas presiden Majlis Peguam, Sulaiman dipilih oleh Pejabat Peguam Negara untuk mengetuai pendakwaan dalam kes SRC International.
Bagaimanapun, peguam percaya peguam mahkamah yang berpengalaman akan memerlukan bantuan daripada peguam kanan yang mantap memandangkan tempoh perbicaraan dan kesihatannya yang tidak begitu baik.
Perbicaraan SRC dijangka berlangsung selama 43 hari.
Najib menghadapi 10 pertuduhan berhubung RM89 juta daripada SRC International.
Beliau pada awalnya didakwa pada 4 Julai dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan di bawah Akta SPRM berhubung lebih RM42 juta yang dikaitkan dengan kes SRC International. Pada 8 Ogos, beliau berdepan dengan tiga lagi pertuduhan berkaitan kes yang sama.
Pada Isnin, Najib ditahan dengan tiga lagi tuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.
Dalam dakwaan terbaru, beliau dituduh menerima, melalui tiga urus niaga, hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang berjumlah RM47 juta pada 8 Julai 2014, melalui akaun banknya di AmIslamic Bank Bhd.
Secara keseluruhannya, Najib berdepan 42 pertuduhan, yang juga melibatkan 1MDB dan mengubah laporan ketua audit negara mengenai dana negara yang bermasalah, dan juga kerana pecah amanah yang melibatkan International Petroleum Investment Company, Abu Dhabi. – 30 Januari, 2019.