Umno Sabah masih relevan, kata Bung Moktar
Iklan
UMNO Sabah masih kekal sebagai parti yang memiliki jumlah ahli paling ramai berikutan ramai yang menyertai parti itu selepas berlaku perpecahan tahun lalu, kata pengerusi perhubungan negeri baharunya Bung Moktar Radin.
Bung berkata, hanya 10% daripada setengah juta ahli di negeri itu keluar Umno selepas kehilangan kuasa di peringkat persekutuan dan negeri pada pilihan raya umum lalu.
Beliau menyatakan akar umbi Umno Sabah masih teguh walaupun terdapat khabar angin yang menyatakan parti itu lumpuh akibat perpecahan yang berlaku.
“Kita sedang dalam proses membersihkan senarai ahli parti. Setakat hari ini, kita sudah lengkapkan 80% senarai ahli.
“Setakat 15 Januari tahun ini, daripada 585, 305 ahli, ia turun kepada 564,664 ahli.
“Saya rasa kita mampu selesaikan proses saringan dalam masa seminggu,” kata Bung, dan menambah jumlah itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa Umno Sabah masih teguh dan masih relevan.
Bung berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di Kota Kinabalu hari ini.
Oleh kerana parti masih belum mendapat angka yang tepat, Bung berkata terdapat tiga bahagian Pemuda, tujuh Puteri dan empat Wanita yang akan mengadakan mesyuarat agung tahunan khas untuk memilih pemimpin-pemimpin bahagian baharu.
“Kita menjangkakan akan menyelesaikan seawal minggu hadapan dan diharap, parti dapat kembali ke landasan minggu depan,” katanya.
Setiausaha agung dan timbalan presidennya akan ke Sabah untuk melihat perkembangan Umno Sabah dalam mendapatkan autonomi mereka, dan mengumumkan secara rasmi autonominya.
“Umno Sabah mendapatkan autonominya bermakna parti kini dapat membuat keputusan sendiri termasuk berhubung pemimpinnya, calon pilihan raya dan kewangan.
“Pengumuman rasmi autonomi itu akan dibuat apabila timbalan presiden melawat Sabah.
“Umno juga akan meminda perlembagaannya ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa Umno untuk memberikan autonomi kepada Umno Sabah,” katanya. – 30 Januari, 2019
Berita penuh di sini.